Peningkatan kadar Rt akibat pertambahan kes tidak ganggu PPN - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kadar Rt akibat pertambahan kes tidak ganggu PPN - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sesi Dialog Pemulihan Negara bersama Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC), hari ini.- Gambar ihsan Facebook British Malaysian Chamber of Commerce.

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Nov - Peningkatan kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 sejak beberapa hari lalu tidak akan mengganggu Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana peningkatan itu kebanyakannya membabitkan kes kategori 1, 2 dan 3.

 

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peningkatan Rt itu juga tidak memberi kesan ketara memandangkan sektor ekonomi telah kembali dibuka malahan ada yang beroperasi 24 jam sehari.

 

"Pada masa ini memang ada petunjuk peningkatan R-Naught tetapi ia tidak melibatkan kes yang begitu serius.

 

"Sehingga kini belum ada petanda ia memberi kesan kepada PPN kerana sektor ekonomi sudah kembali dibuka, tiada sekatan daripada mana-mana pihak, nak buka 24 jam pun boleh," katanya selepas mengadakan Dialog Pemulihan Negara bersama Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC), hari ini.

 

Dalam tempoh lima hari lalu, kadar Rt bagi seluruh negara kembali melepasi 1.00 selepas tiga bulan dan enam buah negeri termasuk Lembah Klang.

 

Muhyiddin berkata, walaupun sektor industri dibenarkan beroperasi tanpa had, proses pemulihannya mengambil masa kerana ada yang telah terjejas teruk.

 

Katanya, ia menyebabkan ada sektor bergelut untuk kembali beroperasi seperti biasa dan memerlukan banyak sokongan serta bantuan dari segi kewangan, modal dan moratorium.

 

"MPN sentiasa beri perhatian. Ini bukan perkara mudah, belum lagi nampak kesan besar tetapi proses pembukaan ekonomi sudah bermula," katanya.-Dagangnews.com