KUALA LUMPUR 19 Dis - Peningkatan kes COVID-19 dijangka mendorong peningkatan jualan Kotra Industries Berhad terutama bagi ubat-ubatan di kaunter (OTC) seperti batuk dan selesema.
RHB Investment berkata, bilangan kes COVID-19 di Malaysia menaik 88% kepada 12,757 pada minggu kedua Disember, daripada 6,796 minggu sebelumnya dan ia akan menjadi lebih buruk seiringa dengan musim perayaan akhir tahun dan cuti sekolah.
Katanya, peluang lebih tinggi untuk berjangkit memandangkan adanya varian COVID-19 baharu, di samping pemakaian pelitup muka yang kurang diamalkan di kawasan awam.
"Senario kes asas kami menunjukkan bahawa segmen OTC Kotra mungkin mencatat pertumbuhan untung bersih 3% pada FY24, jika permintaan pengguna lebih tinggi daripada jangkaan (melihat pada kenaikan 13% dari tahun ke tahun sejajar dengan purata iaitu pertumbuhan jualan farmasi runcit 2021)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kesedaran lebih tinggi mengenai kesihatan dalam kalangan pengguna dari segi menguatkan imuniti terhadap COVID-19 dan penyakit tidak berjangkit (NCD) lain seharusnya menjadi pemangkin untuk penilaian semula yang bakal memacu pertumbuhan pasaran barangan penjagaan kesihatan pengguna.
Menurut Vodus Research, warga Malaysia semakin mementingkan soal kesihatan disebabkan oleh pandemikCOVID-19, dan juga kadar obesiti dan diabetes yang tinggi.
Pada 2021, 50% daripada warga Malaysian mengambil barangan kesihatan tambahan yang merangkumi vitamin C, multivitamin dan minyak ikan.
RHB Investment menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih cerah buat Malaysia pada 2024, diperkukuh oleh kenaikan kegiatan ekonomi pada separuh pertama 2024.
Katanya, dasar kewangan yang semakin mereda dapat mendorong lagi keadaan ekonomi dunia, kerana barangan nutraseutikal dilihat sebagai barangan bukan keperluan.
"Prospek pertumbuhan jangka sederhana bagi Kotra Industries seharunya dibantu oleh peningkatan kesedaran kesihatan dalam kalangan pengguna dan trend yang dikaitkan dengan masyarakat menua," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM5.40 sesaham. - DagangNews.com