Peningkatan kes COVID-19 tidak menyumbang kepada peningkatan jualan Top Glove, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kes COVID-19 tidak menyumbang kepada peningkatan jualan Top Glove, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Dis - Peningkatan jumlah jualan sarung tangan Top Glove Berhad pada suku pertama berakhir 30 November 2023 (1QFY24) tidak berkaitan dengan peningkatan kes COVID-19.

 

MIDF Research berkata, kes pada ketika ini masih di peringkat awal dan tidak terlalu teruk dengan majoriti pesakit hanya menunjukkan gejala ringan.

 

Katanya, pada 1QFY24, jumlah jualan meningkat sebanyak 9% dari suku tahun ke suku tahun disebabkan kehabisan inventori pelanggan dan penyambungan semula aktiviti penambahan stok.

 

"Pengeluar sarung tangan China kini mempunyai pesanan tertunggak hampir tiga bulan membuatkan permintaan beralih kepada pengeluar dari Malaysia.

 

"Ia menunjukkan kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk mendapatkan penambahan pesanan pelanggan yang lebih baik pada FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Peningkatan kualiti operasi dan kawalan kos, rugi bersih Top Glove susut kepada RM57.71 juta pada 1QFY24

 

Terdahulu, pendapatan bagi suku tersebut susut kepada RM493.56 juta berbanding RM632.53 juta yang direkodkan pada tahun lalu.

 

Pada asas suku ke suku, kumpulan itu mencatatkan peningkatan kerugian bersih 1QFY2024 sebanyak RM47 juta, mewakili pengurangan 90% daripada kerugian bersih 4QFY2023, yang termasuk kemerosotan nilai sekali sahaja sebanyak RM392 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada 1QFY24, purata harga jualan (ASP) menyusut sebanyak 8% disebabkan semakan semula pada suku sebelumnya ekoran penurunan harga bahan mentah.

 

Jangkaan harga bahan mentah berubah-ubah selain saingan sengit daripada pengeluar dari China dan situasi lebihan bekalan, mereka kekal berhati-hati terhadap keupayaan kumpulan bagi menyesuaikan ASP pada masa hadapan.

 

"Kumpulan itu juga menjangkakan harga Nitril susut 5% dan harga lateks meningkat sebanyak 4% bermula suku pertama 2024 dan ke hadapan," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak 84 sen berbanding 70 sen sesaham. - DagangNews.com