Peningkatan kualiti operasi dan kawalan kos, rugi bersih Top Glove susut kepada RM57.71 juta pada 1QFY24 | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kualiti operasi dan kawalan kos, rugi bersih Top Glove susut kepada RM57.71 juta pada 1QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Dis - Rugi bersih Top Glove Berhad menyusut kepada RM57.71 juta pada suku pertama berakhir 30 November 2023 (1QFY24) berbanding kerugian bersih RM157.62  juta pada tahun sebelumnya disokong oleh peningkatan kualiti operasi dan kawalan kos.

 

Kumpulan itu berkata, keadaan itu berjaya membantu mengimbangi kenaikan harga bahan mentah.

 

Pengeluar sarung tangan terbesar di dunia itu berkata, pendapatan bagi suku tersebut susut kepada RM493.56 juta berbanding RM632.53 juta yang direkodkan pada tahun lalu.

 

Pada asas suku ke suku, kumpulan itu mencatatkan peningkatan kerugian bersih 1QFY2024 sebanyak RM47 juta, mewakili pengurangan 90% daripada kerugian bersih 4QFY2023, yang termasuk kemerosotan nilai sekali sahaja sebanyak RM392 juta.
  

Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, keputusan suku pertama adalah bukti keberkesanan peningkatan kualiti dan kawalan kos berterusan kumpulan serta langkah-langkah peningkatan operasi dalam pelan pemulihannya.

 

"Dengan tempahan sarung tangan disambung semula ia membuktikan pasaran mula menunjukkan pemulihan dan kami berharap kami terus mencatatkan pemulihan pada suku-suku akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, kumpulan juga bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan bagi memastikan pematuhan obligasi baharu di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), yang akan berkuat kuasa mulai 30 Disember 2024. 

 

Katanya, menerusi peraturan itu, kumpulan yang terlibat dengan perniagaan komoditi seperti getah asli dan produk yang diperoleh daripada getah asli perlu memastikan barangan tersebut tidak terhasil daripada penebangan hutan, degradasi hutan atau pelanggaran undang-undang alam sekitar  dan sosial.

 

Cheong Guan bagaimanapun positif tehradap prospek jangka pendeka dan sederhada kumpulan kerana sarung tangan merupakan barangan penting terutama dalam industri kesihatan, perindustrian dan makanan.

 

Beliau berkata, pihaknya yakin bahawa permintaan global sarung tangan terus mencatatkan peningkatan tahunan sebanyak 8% seiring dengan penggunaan, didorong penyambungan semula pesanan dan diperkuat oleh peningkatan kesedaran kesihatan dan kebersihan pasca pandemik. 

 

“Tumpuan kami kekal kepada mengukuhkan perniagaan sarung tangan melalui inisiatif peningkatan kualiti dan kos yang optimum, agar kami berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan peningkatan prestasi kami dan mempercepatkan pemulihan kami," katanya. - DagangNews.com