Peningkatan pelancong China didorong kemasukan tanpa visa dijangka beri manfaat besar kepada MAHB, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Peningkatan pelancong China didorong kemasukan tanpa visa dijangka beri manfaat besar kepada MAHB, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jan - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dijangka menerima manfaat besar daripada peningkatan kehadiran pelancong China didorong kemasukan tanpa visa bermula 1 Disember 2023.

 

TA Securities berkata, syarikat penerbangan juga dijangka terus menambah kapasiti kepada pasaran, sekali gus mengurangkan lagi tambang penerbangan, yang akan memberi kesan positif kepada MAHB.

 

Katanya, pada November 2023, MAHB melaporkan 6.6 juta pergerakan penumpang, penyusutan 2.9% bulan ke bulan tetapi meningkat 27.4% tahun ke tahun.

 

"Pertumbuhan trafik antarabangsa kekal teguh (+0.4% dari bulan ke bulan; +51.8% tahun ke tahun) pada November 2023, mengimbangi kelemahan bermusim dalam trafik domestik (-6.3% bulan ke bulan; +8.8% tahun ke tahun)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.​



Firma penyelidikan itu berkata, penguncupan trafik domestik adalah disebabkan peruntukan tempat duduk yang lebih tinggi kepada penerbangan antarabangsa, dengan tambang yang lebih tinggi dan menawarkan syarikat penerbangan hasil yang lebih baik.

 

"Menurut pihak pengurusan, faktor muatan purata bagi sektor domestik pada November mencatatkan melebihi 80% untuk bulan kedua berturut-turut, dengan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan itu ditawarkan pada 66% berbanding tahap pra pandemik," katanya.

 

TA Securities berkata, pertumbuhan pergerakan penumpang terkumpul di Malaysia bagi tempoh 11 bulan 2023 menyederhana kepada 61.2%, berbanding 65.6% sebulan lalu, kepada 74.1 juta.

 

Ia menyumbang 89.1% daripada unjuran tahun penuh TA Securities sebanyak 90 juta disebabkan oleh kapasiti penerbangan yang lebih rendah daripada jangkaan untuk 2023.

 

Sementara itu, pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) susut 10.4% dari bulan ke bulan walaupun meningkat sebanyak 12.4% dari tahun ke tahun.

 

"Ini disokong oleh penumpang antarabangsa yang lebih lemah (-12.5% bulan ke bulan) dan trafik domestik (-8.1% bulan ke bulan) pada musim sejuk.

 

"Secara kumulatif, jumlah pergerakan penumpang ISG meningkat 21% kepada 34.4 juta dalam 11 bulan terkumpul 2023, didorong oleh pertumbuhan yang baik dalam trafik antarabangsa (25.7%) dan domestik (16.2%)," katanya.

 

TA Securities mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan itu bagi FY23, FY24 dan FY25 dengan untung bersih teras sebanyak RM496.8 juta, RM728.4 juta dan RM695.4 juta, disokong oleh hasil sebanyak RM4.48 bilion, RM5.66 bilion dan RM5.87 bilion.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM8.20 sesaham. - DagangNews.com