Peningkatan permintaan dalam semua segmen, UOB Kay Hian positif terhadap prospek sektor teknologi pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Peningkatan permintaan dalam semua segmen, UOB Kay Hian positif terhadap prospek sektor teknologi pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Dis - UOB Kay Hian Research kekal positif terhadap prospek sektor teknologi pada tahun hadapan disokong peningkatan permintaan dalam semua segmen.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan suku ketiga sektor itu mengecewakan tetapi dapat dilihat prospek yang lebih baik pada masa akan datang.

 

“Pada suku ketiga 2023, pendapatan dan sentimen perdagangan mencatatkan keputusan mengecewakan dengan Indeks Teknologi Bursa Malaysia (Indeks BM Tech) ditutup lebih rendah sebanyak 37% sejak 2022 dan -3%,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, keadaan menjadi lebih positif bagi sektor ini dengan risiko ganjaran yang lebih baik, disokong oleh prospek pendapatan yang bertambah baik pada 2024.

 

UOB Kay Hian berkata, jualan semikonduktor global dijangka melonjak 13.1% tahun ke tahun pada 2024, selepas penguncupan jualan sebanyak 9.4% tahun ini.

 

Penguncupan semakin hampir ke penghujungnya dan sektor itu akan menyaksikan kitaran berbalik semula kepada trajektori pertumbuhan positif tidak lama lagi.
 

“Ini mencerminkan pertumbuhan yang baik merentas semua segmen, diterajui oleh memori (43.2%, selepas kejatuhan mendadak pada 2023), diikuti oleh logik (6.8%) dan semikonduktor (6.4%). 

 

"Pada pandangan kami, ini menunjukkan jualan telefon pintar dan peranti pintar dijangka meningkat dengan kukuh,” katanya.

 

Walaupun syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) perlahan dalam pemuatan pesanan, UOB Kay Hian berkata peserta EMS masing-masing sedang mencari secara agresif peluang berkaitan lencongan perdagangan.

 

"Pemain industri EMS iaitu CAPE EMS dan NationGate, melihat prospek yang menjanjikan berkaitan produk komunikasi dan pelayan, dengan sesetengahnya sudah berada di peringkat pengkomersialan lanjutan sejak suku ketiga tahun ini," katanya.

 

Firma penyelidikan itu itu memberi amaran bahawa walaupun terdapat risiko penurunan pada suku keempat terutamanya daripada syarikat teknologi tempatan bermodal kecil kecil, kemunculan pemain multinasional di Malaysia akan memberi manfaat kepada ekosistem tempatan. - DagangNews.com