Penipuan umrah meningkat drastik, MOTAC cadang kaedah penarafan agensi | DagangNews Skip to main content

Penipuan umrah meningkat drastik, MOTAC cadang kaedah penarafan agensi

Roslan Mohammad (berbaju hijau) ketika menyempurnakan majlis penutup Hari Umrah Malaysia di Malakat Mall, Cyberjaya.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Nov - Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC) mendedahkan kes penipuan umrah di seluruh negara meningkat dengan ketara apabila jumlah kerugian mencapai RM9 juta. 

 

Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan MOTAC, Roslan Mohammad berkata, jumlah penipuan yang direkodkan meningkat tiga kali ganda dari tahun sebelumnya dengan 62 kes dilaporkan kepada polis membabitkan kerugian sebanyak RM2.1 juta. 

 

Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM) pula merekodkan kes kerugian sebanyak RM7.079 juta daripada 355 kes yang dilaporkan.

 

Bagi menangani isu ini, MOTAC mengusulkan kaedah penarafan terhadap agensi pengendali perkhidmatan umrah negara. Cadangan tersebut disampaikan dalam Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU), bertujuan meminimumkan risiko penipuan kepada orang awam.

 

“Gred syarikat-syarikat umrah perlu dipertimbangkan untuk meningkatkan kualiti setiap agensi pengendali. Ini akan memudahkan orang awam membuat penilaian terhadap agensi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

umrah
Roslan Mohammad

 

Selain penarafan, MOTAC mengenal pasti 531 agensi pengurusan umrah di peringkat ibu pejabat dan 394 cawangan dengan sebahagian besar merupakan ahli Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji dan daripada jumlah itu, 245 agensi dalam pemantauan pihak MOTAC dan ada yang disenaraihitamkan atas aduan jemaah.

 

Roslan menekankan bahawa penipuan dalam industri umrah sukar dihapuskan kerana terdapat syarikat yang tidak didaftarkan di bahagian pelesenan, namun MOTAC yakin bahawa usaha ini dapat meminimumkan penipuan dalam masyarakat.

 

Selain cadangan penarafan, MOTAC juga menyokong usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Umrah bagi jemaah Islam dari kawasan rantau Asia Tenggara. 

 

Inisiatif itu dianggap dapat merancakkan industri pelancongan negara secara keseluruhannya dengan menawarkan pakej ‘Muslim Friendly’ kepada jemaah, menjadikan Malaysia destinasi pelancongan Muslim global.

 

“Saya menyambut baik Hari Umrah Malaysia yang diadakan ini. Ia adalah langkah positif bagi meningkatkan kesedaran terhadap penipuan pakej haji dan umrah,” katanya.

 

MOTAC yakin usaha ini juga akan mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi, memfokuskan Malaysia sebagai hab transit pilihan bagi jemaah umrah yang menggunakan KLIA sebagai pintu masuk ke Tanah Suci.

 

Terdahulu, Roslan mewakili Timbalan Menteri, Khairul Firdaus Akbar Khan menyempurnakan majlis penutup Hari Umrah Malaysia yang julung kali diadakan di kompleks beli belah Malakat Mall, Cyberjaya semalam.

 

Acara itu dianjurkan Fakulti Pengajian Antarabangsa, YEG Academy dengan kerjasama Kolej Antarabangsa Inovatif, Suara Belia, Brainy Bunch dan gedung komersial tersebut.

 

Sebanyak 20 agensi umrah tempatan menyertai program tiga hari itu yang diisi dengan pelbagai aktiviti menarik bermula Jumaat lepas dan dihadiri hampir 10,000 pengunjung.  - DagangNews.com