Penjana Kapital tarik dana pelaburan RM1.57 bilion | DagangNews Skip to main content

Penjana Kapital tarik dana pelaburan RM1.57 bilion

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Program Dana Penjana Nasional yang dilancarkan Ogos lalu berjaya menarik perhatian 8 pengurus dana modal teroka (VC) dengan saiz pelaburan bernilai RM1.57 bilion dalam syarikat pemula tempatan. 

 

Malah, dana kendalian Penjana Kapital Sdn. Bhd. itu juga berjaya melepasi sasaran asal peruntukan yang ditetapkan kerajaan berjumlah RM1.2 bilion.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, 8 VC itu telah dipilih dalam kalangan 51 pemohon daripada seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, Indonesia dan Singapura. 

 

"Saya bangga melihat Penjana Kapital melakar sejarah menghubungkan syarikat pemula di Malaysia dengan modal teroka antarabangsa dalam menyediakan ekosistem rancak bagi membuka jalan untuk firma-firma berpotensi tinggi terus berkembang maju.

 

"Malah, saiz dana juga melangkaui sasaran atau RM370 juta lebih tinggi daripada peruntukan yang diunjurkan kerajaan," katanya dalam Majlis Penyerahan Surat Anugerah Penjana Kapital hari ini.

 

Sasaran kerajaan pada peringkat awal adalah untuk menubuhkan dana bernilai RM1.2 bilion yang diperuntukkan secara efektif kepada firma berpotensi tinggi beserta garis panduan matlamat jelas untuk dicapai dengan tumpuan terhadap sektor seperti teknologi pertanian, teknologi kewangan, teknologi pendidikan, mobiliti dan kecerdasan buatan (AI).

 

Dana Penjana diperkenalkan sebagai satu langkah dalam pakej rangsangan ekonomi bagi mengharungi kesan COVID-19 amat diperlukan bagi memacu pertumbuhan syarikat pemula dalam suasana norma baharu. 

 

Ia merupakan program padanan fund-of-funds yang merupakan sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). 

 

Menerusi dana ini, kerajaan akan memadankan hingga RM600 juta berdasarkan padanan 1:1 dana yang dijana VC daripada pelabur tempatan, asing dan swasta dengan sasaran peruntukan asal sebanyak RM1.2 bilion. 

 

Dana tersebut kemudiannya akan disalurkan terutama ke syarikat pemula Malaysia dengan bakinya ke dalam syarikat pelaburan Asia yang dapat membawa manfaat ekonomi mampan bagi ekonomi negara. 

 

Bagi jangka masa panjang, Penjana Kapital telah menubuhkan Pelan Pemindahan Pengetahuan (KTP) untuk menetapkan matlamat yang jelas bagi semua pemain yang terlibat.

 

Menurut Tengku Zafrul, terdapat 91 KTP di bawah Penjana Kapital dan matlamatnya adalah untuk mencipta sekurang-kurangnya 1,800 pekerjaan berkemahiran tinggi, melalui projek di syarikat yang dilaburkan atau pemindahan pengetahuan. 

 

"Ini sejajar dengan objektif Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan, dengan fokus terhadap produk dan perkhidmatan yang bernilai tambah tinggi," katanya.

 

Beliau berkata, penyertaan pelabur asing yang menggalakkan ini juga menunjukkan keyakinan kukuh masyarakat antarabangsa terhadap dasar mesra pelaburan Malaysia serta prospek pertumbuhan industri ekonomi dan industri syarikat pemula negara. 

 

"Malaysia telah menunjukkan ketahanan dari segi pelaburan walaupun turut dilanda pandemik yang mencabar ekonomi dunia, dengan jumlah pelaburan yang diluluskan melebihi RM100 bilion dalam tempoh 9 bulan pertama 2020 sahaja," jelasnya. - DagangNews.com