Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Dis. - Jumlah caruman sebanyak RM69.80 atau 30% yang dikenakan kepada setiap pencarum ekonomi gig adalah berpatutan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, jumlah caruman itu mengambil kira pendapatan yang diinsuranskan melepasi kadar gaji minima negara iaitu RM1,200.
"Pendapatan yang diinsuranskan di bawah Pelan Kedua adalah sebanyak RM1,550 di mana OBS (Orang Bekerja Sendiri) hanya perlu membayar sebanyak RM69.80 sahaja, manakala baki 70% iaitu RM163.00 ditanggung oleh kerajaan.
"Caruman sebanyak 30% atau RM69.80 yang dikenakan kepada setiap pencarum ekonomi gig adalah kadar yang berpatutan di bawah Pelan Kedua dengan mengambil kira pendapatan yang diinsuranskan melepasi kadar gaji minima negara RM1,200," katanya ketika menjawab soalan Datuk Wira Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) di Dewan Rakyat hari ini.
Jawapan tersebut diberikan selepas Amiruddin meminta beliau menyatakan alasan caruman inisiatif Penjana GIG yang terlalu mahal sehingga memakan kos caruman RM69.80.
Amiruddin turut mempersoal tindakan kerajaan yang tidak memilih untuk memberi subsidi lebih tinggi seperti 90% supaya caruman tersebut lebih murah.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, kadar caruman yang dikenakan adalah lebih murah jika dibandingkan dengan insurans konvensional di pasaran.
"Kadar RM5.82 sebulan atau RM69.80 setahun adalah lebih murah berbanding penyedia insurans konvensional di pasaran sebagai contoh RM7.12 sebulan atau RM85.44 setahun dengan kadar paling rendah bagi penyedia insurans konvensional untuk perlindungan Personal Accident.
"Selain daripada itu, faedah yang disediakan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri adalah lebih baik dan komprehensif," jelas beliau lagi.
Dana Padanan Bagi Platform Ekonomi Gig (PenjanaGig) adalah bantuan kerajaan melalui Penjana bagi menjamin keselamatan sosial dan kebajikan golongan OBS yang melibatkan aktiviti pekerjaan ekonomi gig.
PenjanaGig adalah bantuan dan platform penyedia perkhidmatan dalam bentuk caruman kepada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). - DagangNews.com