Penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 bakal nikmati kenaikan gaji RM100 mulai Januari 2023 | DagangNews Skip to main content

Penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 bakal nikmati kenaikan gaji RM100 mulai Januari 2023

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 30 Ogos - Penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 negara bakal menikmati Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 mulai Januari 2023, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, pengumuman itu bakal dimanfaatkan seramai 1.28 juta penjawat awam dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

 

"Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada 2023 adalah sebanyak RM180.

 

""Keluh kesah anggota perkhidmatan awam sentiasa didengari oleh kerajaan. Justeru, kerajaan bersetuju agar Jabatan Perkhidmatan Awam menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan merangkumi saraan dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan kerajaan," katanya.

 

Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di sini, hari ini.

 

Pengumuman Perdana Menteri itu adalah antara beberapa inisiatif baharu dan khabar gembira buat penjawat awam, termasuk menaikkan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari. 

 

Beliau berkata, kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka. 

 

 

pm

 

 

"Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai di masa persaraan sekaligus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak," katanya.

 

 

pm

 

 

pm

 

 

Ismail Sabri turut mengumumkan tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun. 

 

"Tambahan Cuti Rehat Khas sebanyak 5 hari ini akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi," katanya.

 

 

PM

 

 

pm

 

 

Selain itu, beliau berkata, inisiatif lain termasuk, perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat. 

 

"Jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam," katanya. - DagangNews.com