Penjawat awam Negeri Sembilan terima 'bonus' setengah bulan gaji | DagangNews Skip to main content

Penjawat awam Negeri Sembilan terima 'bonus' setengah bulan gaji

Negeri Sembilan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk memberi Bantaun Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran negeri berkenaan.

 

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan tersebut akan dibayar selewat-lewatnya pada minggu kedua Januari 2021.

 

"Kerajaan mengambil maklum akan penyusutan hasil negeri tahun 2020 berbanding prestasi cemerlang tahun 2019. Namun, bak kata perbidalan, 'duduk seorang bersempit-sempit, duduk bersama berlapang-lapang, dalam air kita berenang, cetek air kita bercebok”. 

 

"Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam yang sentiasa mencurahkan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi kepada kerajaan dan rakyat, sukacita saya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam yang berada di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri. 

 

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun

 

"Bantuan khas ini akan dibayar selewat-lewatnya pada minggu kedua Januari tahun 2021," katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2021 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

 

Negeri Sembilan mempunyai seramai 5,379 penjawat awam negeri, berkanan dan pihak berkuasa tempatan.

 

Daripada jumlah tersebut, seramai 4,930 orang atau 91.65% adalah terdiri daripada kumpulan sokongan yang mempunyai purata gaji di bawah RM4,210 sebulan iaitu dikategorikan sebagai kumpulan B40.

 

Dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2021 yang dibentangkan hari ini, Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM560 juta iaitu melebihi dari jangkaan hasil sebanyak RM448 juta atau defisit sebanyak RM112 juta yang merangkumi  inisiatif-inisiatif kebajikan, bantuan dan insentif. 

 

Manakala  sebanyak RM153 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan. 

 

Baca: Belanjawan Negeri Sembilan 2021 sebanyak RM560 juta

 

Mengulas lanjut, beliau turut berharap bantuan khas tersebut dapat memberi dorongan dan galakan kepada penjawat awam di samping membantu merangsang aktiviti ekonomi tempatan. - DagangNews.com