Penjualan saham BHIC kepada Kementerian Kewangan umpama ulangi penyelesaian skandal NGPV TLDM 18 tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Penjualan saham BHIC kepada Kementerian Kewangan umpama ulangi penyelesaian skandal NGPV TLDM 18 tahun lalu

Kapal LCS pertama, KD Maharaja Lela di limbungan BHIC di Lumut, Perak (Gambar media sosial).
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

FASA pemulihan program kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjalan sepertimana dirancang apabila hak milik Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) dalam projek tersebut dipindahkan kepada kerajaan.

 

Bulan lalu, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) mengumumkan menjual kepentingannya dalam BNSSB kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Ocean Sunshine Bhd. (Ocean Sunshine).

 

BHIC mempunyai kepentingan keseluruhan sebanyak 20.77 peratus.

 

Penjualan ini untuk memudahkan keputusan kerajaan dengan memperoleh 100 peratus saham BNSSB ini bagi memastikan projek LCS siap.

 

Syarikat induk BHIC, Boustead Holdings Bhd kini memiliki 68.85 peratus kepentingan ekuiti dalam BNSSB, manakala Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mengawal kumpulan Boustead memegang baki 10.38 peratus kepentingan.

 

Limbungan
Limbungan BHIC di Lumut, Perak asalnya merupakan Limbungan TLDM sebelum dikorporatkan untuk memajukan industri pertahanan tempatan.

 

KD Kelantan
KD Kelantan kapal terakhir dalam kelas Kedah bagi projek NGPV.

 

Skandal LCS yang menyaksikan projek pembinaan kapal tempur itu gagal disiapkan BNSSB yang akhirnya terpaksa diselamatkan oleh kerajaan.

 

Kontrak pemulihan program LCS sebelum ini ditandatangani semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) antara Kementerian Pertahanan dan BNSSB.

 

Ironinya, perkara ini umpama mengulangi kembali peristiwa 18 tahun lalu semasa program Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) TLDM diselamatkan kerajaan.

 

Kerajaan ketika itu melalui syarikat Boustead milik LTAT terpaksa menyelamatkan projek NGPV dengan membeli kepentingan saham majoriti dalam syarikat PSC-Naval Dockyard pada Disember 2005.

 

Setelah dibeli syarikat itu dijenamakan semula menjadi Boustead Naval Dockyard Sdn Bhd.

 

Kapal
Kapal KD Pahang iaitu satu daripada enam kapal NGPV yang mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan kerana kegagalan projek.

 

Boustead berjaya menyelamatkan projek NGPV walaupun ia terbeban dengan cabaran hutang dan masalah legasi PSC-Naval Dockyard.

 

Sebanyak enam buah NGPV telah diserahkan oleh syarikat tersebut kepada kerajaan antara 2006 hingga 2010.

 

Bagaimana pun, kapal-kapal ini dibina secara konsep Fitted For But Not With (FFBNW) iaitu tanpa senjata utama supaya kos projek tidak terlebih.

 

Sistem senjata utama seperti peluru berpandu dan torpedo hanya akan dipasang pada masa hadapan jika dikehendaki, namun hingga kini kapal-kapal NGPV tiada senjata tersebut.

 

 

PSC-Naval Dockyard wujud apabila Penang Shipbuilding & Construction Corporation (PSC) dibenarkan kerajaan mengambil alih Limbungan TLDM di Lumut pada tahun 1995.

 

 Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Hasan 
Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Hasan semasa meninjau progres pembinaan LCS pertama di Lumut tahun lalu.

 

Kerajaan ketika itu memutuskan agar Limbungan TLDM dikorporatkan atas faktor ekonomi dan usaha untuk membangunkan industri maritim.

 

PSC-Naval Dockyard menjadi gergasi dalam industri pertahanan maritim negara apabila semua kontrak selenggaraan kapal-kapal TLDM diserahkan kepada syarikat tersebut.

 

Pada tahun 1998, kerajaan memberi kontrak pembinaan 27 buah kapal NGPV dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM30 bilion kepada PSC-Naval Dockyard.

 

Fasa pertama melibatkan pembinaan enam buah kapal berasaskan rekaan OPV kelas Meko 100 dari Jerman dengan kos RM6 bilion.

 

Malangnya, kontrak ini gagal disiapkan dan tiada satu kapal pun diserahkan oleh PSC-Naval Dockyard sehingga Jun 2005.

 

Lcs
Kapal LCS KD Maharaja Lela semasa dilancarkan pada tahun 2017.

 

Gowind
Kapal korvet Gowind milik Mesir, El Fateh. Beginilah rupa kapal LCS apabila disiapkan kelak.

 

Difahamkan, rentetan daripada pelbagai hal menyebabkan TLDM dan kerajaan tidak lagi berhasrat untuk meneruskan pembinaan baki 21 buah NGPV yang bernilai kira-kira RM24 bilion.

 

Sebaliknya, kerajaan kemudian memutuskan untuk menggantikan projek berkenaan dengan projek LCS.

 

Walaupun projek NGPV yang terbengkalai bertahun-tahun akhirnya berjaya disiapkan setelah diselamatkan, tetapi episod kegagalan itu menjadi kudis dalam ingatan rakyat.

 

Jadi, apabila program LCS berhadapan skandal maka jutaan rakyat khususnya mereka yang cakna dengan keperluan pertahanan negara merasa kecewa.

 

Antaranya, kecewa pada kemampuan syarikat tempatan yang diberi tanggungjawab gagal melunaskan projek setelah berbilion ringgit dihabiskan.

 

Kapal
Kekurangan kapal-kapal perang menyebabkan TLDM terpaksa beroperasi dalam keadaan terhad untuk mengawal perairan negara.

 

Apabila kerajaan terpaksa campur tangan menjadi penyelamat termasuk menyuntik dana tambahan, maka timbul persoalan tentang apa yang akan berlaku pada syarikat yang gagal melunaskan janji tersebut?

 

Sepertimana yang telah berlaku dalam skandal NGPV 18 tahun lalu, isu tersebut kini dianggap selesai.

 

Dalam pemulihan projek LCS, kerajaan mensasarkan kapal pertama akan dapat disiapkan pada November 2024 dan seterusnya dapat ditauliahkan pada 2026 setelah lulus ujian di laut.

 

Tempoh tiga tahun untuk menunggu siapnya LCS pertama tidaklah lama tetapi juga bukan sekejap.  

 

Dengan keputusan untuk menyiapkan lima buah kapal berbanding jumlah asal enam buah, kita telah memilih jalan yang sangat panjang dan berliku-liku untuk melihat industri pertahanan negara maju. - DagangNews.com

 

 

Lcs