Penjualan tanah di Negeri Sembilan mampu tingkatkan 2% pendapatan Sime Darby pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Penjualan tanah di Negeri Sembilan mampu tingkatkan 2% pendapatan Sime Darby pada FY24

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Cadangan Sime Darby Bhd. menjual 559.36 hektar tanah di Negeri Sembilan pada harga RM460 juta mampu meningkatkan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24) sebanyak 2%. 

 

Menurut Kenanga Research, langkah itu juga dijangka mengurangkan penggearan bersih kumpulan kepada 0.22 kali daripada 0.23 kali.

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap Sime Darby dengan harga sasaran kekal tidak berubah pada RM2.60 sesaham. 

 

Katanya, Sime Darby akan menikmati keuntungan sekali sahaja berjumlah RM412 juta dan ia mampu meningkatkan pendapatan kumpulan hasil daripada penjimatan faedah.

 

"Urus niaga berkenaan menilai tanah ini kira-kira RM13 satu kaki persegi (psf). Sebagai perbandingan, kumpulan menjual sebidang tanah Malaysia Vision Valley (MVV) kepada Sime Darby Property Bhd. pada harga RM8.46 psf pada tahun lalu manakala petak tanah pertanian lain yang berdekatan disenaraikan antara RM9.50 psf hingga RM14.90 psf.

 

"Tanah itu kini diwartakan sebagai tanah pertanian berpotensi pembangunan yang telah dirancang untuk menjadi sebahagian daripada MVV 2.0," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Sime Darby mengumumkan anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Kumpulan Sime Darby Bhd. (KSDB) memeterai perjanjian jual beli dengan NS Corporation bagi penjualan 559.36 hektar tanah di Negeri Sembilan pada harga RM460 juta.

 

Cadangan penjualan tanah yang terletak di Malaysia Vision Valley (MVV) itu membentuk kesinambungan strategi berterusannya untuk menjana keuntungan daripada tanah di MVV, iaitu salah satu daripada aset bukan terasnya.

 

Hasil yang diperoleh daripada penjualan itu akan digunakan untuk keperluan modal kerja Sime Darby dan anak syarikat, perbelanjaan modal dan/atau pembayaran balik pinjaman.

 

Menurut Kenanga Research, tanah yang dijual kepada Matrix Concepts Holdings Bhd. menerusi anak syarikat milik kerajaan Negeri Sembilan itu akan dibangunkan dengan kawasan perbandaran melibatkan nilai pembangunan kasar RM7 bilion, menyamai pembangunan Sendayan.

 

Setakat 12.30 tengah hari ini, harga saham Sime Darby menokok 3 sen atau 1.3% kepada RM2.34 dengan 3.13 juta saham diniagakan. - DagangNews.com