KUALA LUMPUR 15 Dis. - Pemajak, BOC Aviation Limited (BOCA) meminta mahkamah Malaysia menolak skim penstrukturan semula hutang AirAsia X Bhd., lapor Reuters.
BOCA memutuskan bahawa pertukaran hutang kepada ekuiti memberi lebih banyak kuasa kepada Airbus sebagai pemiutang, menerusi afidavit yang difailkan eksekutif tertinggi firma itu.
AirAsia X, syarikat penerbangan jarak jauh tambang murah di bawah AirAsia Group mencadangkan penggabungan hutang sebanyak AS$15.3 bilion dengan jumlah pokok RM200 juta manakala selebihnya diberi pengecualian.
Dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 November lalu yang dilihat Reuters, Ketua Pegawai Operasi BOCA, David Walton menyifatkan penstrukturan semula itu adalah tidak adil kerana ia menghapuskan 99.7% tuntutan tanpa menawarkan pegangan ekuiti kepada pemiutang.
Malah, Walton juga mempersoalkan kiraan hutang AirAsia X yang berat sebelah, memandangkan sebahagian besar daripadanya adalah berkaitan dengan tempahan pesawat Airbus SE yang belum dihantar.
Sebelum ini, dilaporkan BOCA mencabar pelan penstrukturan itu tetapi AirAsia X tidak mengemukakan butiran berkenaan.
"Komitmen pembelian pesawat tidak boleh dipertimbangkan penilaian tepat bagi hutang terakru dan lapuk," jelas Walton dalam afidavit tersebut yang menyokong tuntutan mahkamah oleh BOCA.
Secara dasarnya pelan penstrukturan AirAsia X memerlukan kelulusan pemiutang yang memegang sekurang-kurangnya 75% daripada jumlah nilai hutang.
Sumber yang rapat dengan perkara itu memberitahu Reuters, Airbus mempunyai hampir 75%, dan memberi sedikit kepada pemberi pinjaman.
Walton menyifatkan BOCA sepatutnya dikategorikan sebagai pemiutang kewangan berasingan daripada pengeluar pesawat sepeti Airbus memandangkan masing-masing mempunyai kepentingan berbeza.
Semalam, AirAsia X memaklumkan, pihaknya mahu menyemak semula cadangan pengurangan terbitan modal sahamnya sebanyak 90 kepada 99.9%. Ia meliputi pengurangan terbitan saham modal kira-kira RM1.532 bilion kepada RM1.53 juta. - DagangNews.com