Penstrukturan semula secara menyeluruh atau tutup operasi AirAsia X | DagangNews Skip to main content

Penstrukturan semula secara menyeluruh atau tutup operasi AirAsia X

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Nov - AirAsia X menyatakan bahawa keutamaan syarikat itu adalah untuk menstruktur semula secara menyeluruh supaya boleh kembali beroperasi atau berdepan risiko menutup operasi sekaligus merugikan semua pihak. 

 

Dalam satu kenyataan, AirAsia X menyatakan bahawa langkah itu adalah sangat penting kerana mereka tidak menerima sokongan kewangan daripada mana-mana pihak luar semasa pandemik COVID-19 berlaku atau sebelum ini.

 

Katanya, syarikat penerbangan itu harus membina semula platform yang kukuh untuk masa depan yang mampan dan berdaya maju supaya pelabur baharu akan bersedia untuk menyuntik modal baharu.

 

"Pemiutang kami yang terdiri daripada pemiutang yang besar, mengundi dengan hampir sebulat suara pada 12 November bagi memberi kami peluang untuk terus beroperasi dan pulih dengan lebih kukuh, kerana kami melakukannya demi kepentingan terbaik untuk mereka. 

 

"Begitu juga, adalah demi kepentingan terbaik para pengguna untuk membenarkan kami terbang semula supaya kami boleh kembali menawarkan kredit perjalanan mereka.

 

"Secara ringkas, satu-satunya pilihan yang ada selain penstrukturan semula ini adalah penutupan syarikat yang merupakan kerugian bagi semua, tanpa sebarang peluang untuk mendapatkan semula sebarang hutang mereka sekiranya kami tidak berjaya dalam penstrukturan semula ini," katanya.

 

5 Oktober lalu, Kumpulan AirAsia mengumumkan syarikat penerbangan tambang murah itu menerima kelulusan Danajamin Nasional Berhad untuk pinjaman sehingga RM500 juta, untuk pulih daripada impak COVID-19.

 

Pinjaman tersebut, yang 80% dijamin oleh kerajaan Malaysia, adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi bagi menyokong perniagaan yang terjejas akibat pandemik tersebut.

 

AirAsia X (yang paling teruk terjejas antara semua unit di dalam kumpulan AirAsia) mendapat kelulusan 100% untuk pelan penstrukturan semula hutangnya daripada pemiutang skim Kelas A serta C dan 97.6% daripada pemiutang Kelas B, dengan itu menjadikan laluan cadangan hutang syarikat penerbangan yang bermasalah itu semakin jelas.

 

Wakil syarikat penerbangan itu, Mercury Securities Sdn. Bhd. berkata, kelulusan itu diperoleh selepas mesyuarat yang diarahkan mahkamah (CCM) yang diadakan dengan tiga kumpulan pemiutang yang berbeza "hadir dan mengundi sama ada secara individu atau melalui proksi" di CCM berkenaan.

 

Syarikat penerbangan tambah rendah itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata ia memerlukan "majoriti 75%" pemiutang skim melalui CCM agar pelan berkenaan diluluskan.

 

AirAsia X mengadakan tiga mesyuarat pada hari tersebut dengan pemiutang skimnya bagi mengundi pelan untuk menstruktur semula hutang sebanyak RM63.5 bilion.

 

Dalam perkembangan sama, pensyarah Unversiti Kuala Lumpur, Profesor Dr. Abu Haniffah Abdullah berkata, syarikat itu akan terus mencatat kerugian melainkan mereka munkar model perniagaan mereka kerana harga yang ditawarkan AirAsia X juga tidak begitu murah.

 

"Melainkan mereka mengubah model perniagaan mereka, saya takut AirAsia X akan terus mencatakan kerugian," katanya. 

 

AirAsia X juga mengambil maklum bahawa syarikat itu memiliki hutang tertunggak kepada pengguna. 

 

"Kami ingin memberi jaminan kepada para pengguna yang terjejas oleh penstrukturan semula ini bahawa AirAsia X akan menawarkan keistimewaan perjalanan dalam bentuk kredit, yang boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka semula selain nilai hutang sebanyak 0.5% dan kelayakan berasaskan tunai lain berdasarkan prestasi hasil tahunan selama tiga tahun seperti yang dinyatakan dalam Penyata Penjelasan yang dihantar kepada semua pemiutang baru-baru ini. 

 

"Kelayakan dan kredit perjalanan ini hanya boleh berlaku jika AirAsia X berjaya dalam penstrukturan semula mengikut syarat-syarat Skim tersebut. 

 

"Jika syarat-syarat skim tersebut gagal dilaksanakan, AirAsia X akan dibubarkan dan para pengguna tidak akan menerima sebarang kelayakan dan AAX memilih untuk tidak meletakkan mereka dalam situasi ini," katanya.-DagangNews.com