Pentamaster diramal terima manfaat daripada segmen peranti semikonduktor dipacu AI, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pentamaster diramal terima manfaat daripada segmen peranti semikonduktor dipacu AI, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Ogos - RHB Investment meramalkan Pentamaster Corp Bhd menerima manfaat daripada perkembangan segmen peranti semikonduktor kuasa yang dipacu oleh kemajuan kecerdasan buatan (AI), elektrifikasi automotive dan automasi pembuatan perubatan.

 

Katanya, walaupun segmen peranti perubatan akan terus menjadi penyumbang utama, kumpulan itu menjangkakan separuh kedua 2024 yang lebih perlahan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, mereka menjangkakan segmen itu menyumbang antara 35% hingga 40% daripada hasil FY24 (1H24: 45.5%) disebabkan limpahan projek utama dari 2023 dan penghantaran pada separuh pertama.

 

"Walaupun prospek berkurangan, tiada penangguhan atau pembatalan daripada pelanggan utamanya kerana rancangan belanjawannya kekal di landasan yang betul," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, segmen semikonduktor diunjur mencatatkan angka yang lebih baik pada separuh kedua 2024, disokong oleh pemulihan beransur-ansur, dengan panduan mencadangkan sumbangan antara 10% hingga 12% daripada jumlah hasil.

 

Selain itu, katanya, industri elektro-optik dijangka mengekalkan momentumnya dengan sumbangan 10% hingga 12%. 

 

"Hasil selebihnya akan datang daripada produk pengguna dan perindustrian, di mana separuh kedua tahun ini dijangka kekal lemah," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu merancang untuk meneroka segmen solar dengan sasaran sumbangan hasil dua angka yang rendah menjelang 2025.

 

Katanya, kumpulan itu melihat peningkatan integrasi automasi dengan tenaga boleh diperbaharui (RE), terutamanya dalam pembuatan solar.

 

"Ia telah secara aktif mendapatkan tempahan dalam sektor ini dan komited untuk menyokong pengembangan automasi dalam pasaran tenaga solar," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM5.95 sesaham. - DagangNews.com