Pentamaster intai pasaran Jerman, tubuh pejabat di Indonesia, Asia Barat menjelang 2023 | DagangNews Skip to main content

Pentamaster intai pasaran Jerman, tubuh pejabat di Indonesia, Asia Barat menjelang 2023

KUALA LUMPUR 26 April - Penyedia penyelesaian dan perkhidmatan teknologi automasi, Pentamaster Corporation Berhad akan mengukuhkan kedudukan mereka menerusi penyediaan produk dan penyelesaiannya.

 

Pengerusi Eksekutifnya, Chuah Choon Bin berkata, selepas penubuhan Pentamaster Jepun pada 2021, kumpulan yang berpangkalan di Pulau Pinang itu akan meluaskan jejaknya ke Jerman pada 2022 dan membuka pejabat di Indonesia dan Asia Barat menjelang 2023.

 

"Pentamaster akan terus kekal dan membuat pelaburan di Pulau Pinang.

 

"Dengan unjuran jualan yang diharapkan kumpulan pada tahun-tahun akan datang berdasarkan kepada momentum tempahan pelanggan, kami akan mengembangkan kapasiti pengeluaran, aktiviti penyelidikan dan kejuruteraan dengan pertambahan kemudahan baharu di Batu Kawan, Pulau Pinang," katanya dalam laporan tahunan syarikat 2021 di Bursa Malaysia.

 

Choon Bin berkata, kemudahan itu akan menjadi kilang ketiga terbesar kumpulan, terletak di atas kawasan perindustrian seluas 4.86 hektar dan dijangka menyediakan keluasan 600,000 kaki persegi. 

 

Proses pembinaan sudah dimulakan pada bulan ini dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang suku ketiga 2023.

 

"Perkembangan itu merangkumi ruang lebih luas untuk makmal penyelidikan, tingkat pembuatan dan pejabat," katanya.

 

Beliau berkata, pemacu utama perkembangan kumpulan adalah menerusi sektor automotif dan perubatan. 

 

Dalam sektor automotif, Choon Bin berkata, kumpulan itu akan memanfaatkan kepakaran mereka dalam memenuhi permintaan tinggi bagi modul kuasa bersepadu seperti transistor bipolar terlindung dan peranti kuasa dalam penyelesaian pemasangan dan ujian.

 

"Menerusi sistem pembakaran silikon karbida yang dibangunkan, ia membolehkan kami melengkapkan pengeluaran peranti kuasa dalam sektor automotif," katanya.

 

Bagi sektor perubatan pulan, beliau berkata, kumpulan itu berusaha untuk mengembangkan penyelesaian automasi perubatannya untuk industri peranti perubatan sekali guna, seperti kateter intravena, jarum pen dwi keselamatan dan jahitan. - DagangNews.com