SHAH ALAM 16 Mei - Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman membuktikan sekali lagi bahawa pentingnya untuk seseorang itu terus belajar bagi meningkatkan keupayaan diri bagi berdepan cabaran dengan keadaan dan perubahan baharu.
Menurutnya, beliau memilih untuk mengorbankan tiga minggu dalam bulan Syawal ini bagi mendapatkan ilmu dan dapatan penting yang boleh membantu dalam membangunkan bangsa usahawan.
"Siapa buat dia dapat sebab saya jelas bahawa lebih banyak belajar, lebih banyak akan diperolehi malah berkembang.
"Saya sayang anak didik (RichWorks) dan nak sediakan mereka dengan cabaran ekonomi yang sedang dan dijangka melanda seluruh dunia termasuk tempat kita," katanya dalam hantaran Instagram Azizan Osman Official.
Terdahulu, beliau baharu saja lulus peperiksaan akhir Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) yang diambil.
Kini, Azizan sedang mengikuti program di Columbia Business School di New York yang mana tertangguh sebelum ini berikutan pandemik.
Bahkan baru-baru ini juga, beliau mendapat berita gembira bila permohonan mengikuti LL.M Corporate Governance di University of Cumbria sudah diterima bagi kemasukan tahun ini.
Tambah Azizan, usahawan yang lebih bersedia, perjalanan mereka akan lebih mudah berbanding yang lain.
Dalam pada itu, mengulas persoalan dikeluarkan sesetengah netizen menyatakan Azizan sedang melancong, katanya, ada orang yang memang hidup dia penuh dengan skeptikal dan semua benda palsu.
"Ada yang kata saya sebenarnya datang sini (New York) melancong ya? Memang ya, ini namanya melancong sambil belajar bukannya duduk dalam gua.
"Sebenarnya kita akan dapat lebih banyak ikut sangkaan kita. Pernah dengar hadis sebut, Allah SWT mengikut sangkaan hambanya," jelasnya lagi. - DagangNews.com