Penubuhan Quantum diramal jana pendapatan positif kepada Eco World, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Penubuhan Quantum diramal jana pendapatan positif kepada Eco World, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Penubuhan Quantum, tonggak pendapatan baharu diramal menjana pendapatan positif kepada Eco World Development Group Bhd bagi jangka sederhana dengan mengambil kira permintaan yang semakin bertambah untuk kemudahan teknologi seperti pusat data di Malaysia. 

 

MIDF Research berkata, kumpulan itu merancang untuk mengembangkan Quantum dalam tempoh dua tahun dakan datang.

 

Katanya, pembiayaan bukan isu untuk struktur binaan dan pajakan memandangkan kumpulan itu mempunyai kunci kira-kira yang sihat dengan penggearan bersih yang rendah sebanyak 0.24x.

 

"Penubuhan Quantum itu dijangka meningkatkan sumbangan pendapatan daripada segmen hartanah industri Eco World.

 

"Taman Perniagaan Eco menyumbang 19% daripada jumlah jualan hartanah baharu dalam tujuh bulan pertama FY24 disebabkan permintaan yang berdaya tahan untuk hartanah perindustrian di Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu melancarkan Quantum yang akan menjadi tunggak pendapatan kelima kumpulan dengan tawaran taman perniagaan yang direka bagi memenuhi keperluan khusus untuk pusat data serta usaha niaga digital dan berteknologi tinggi.

 

Menerusi pelancaran itu, Eco Business Park VI di Kulai akan dijenamakan semula sebagai Quantum Edge, mewakili taman perniagaan pertama kumpulan di bawah tonggak baharu itu.

 

Dengan keluasan keseluruhan 163.4 hektar, ia akan menjadi antara hab digital dan teknologi tinggi terbesar oleh pemaju swasta di Malaysia dengan Microsoft menjadi pelanggan pertamanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek pendapatan Eco World kekal stabil dengan jualan hartanah baharu yang stabil yang sebahagian besarnya didorong oleh projek perbandarannya.

 

Katanya, kumpulan itu merekodkan jualan baharu sebanyak RM2.18 bilion pada 7MFY24 dan berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran jualan baharu pengurusan sebanyak RM3.5 bilion untuk FY24 manakala projek perbandaran kekal sebagai penyumbang jualan teratas pada 39%, diikuti oleh projek bertingkat tinggi dengan 31%.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.79 sesaham," katanya. - DagangNews.com