KUALA LUMPUR 12 Jan. - Pergerakan penumpang udara domestik mencatatkan peningkatan signifikan sebanyak 3 kali ganda selepas lebih sejuta penumpang menggunakan perkhidmatan rangkaian 39 lapangan terbang milik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Disember lalu.
Purata pergerakan penumpang harian pada November meningkat 50% kepada sekitar 34,500 orang dengan pergerakan domestik harian tertinggi pada kadar 54,000 pada 27 Disember.
MAHB berkata, peningkatan ini didorong oleh pengenalan 7 laluan penerbangan domestik baharu di samping musim percutian panjang dan kelonggaran sekatan perjalanan sekali gus menunjukkan potensi pemulihan perjalanan udara.
Katanya, syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Firefly telah membuat keputusan strategik dengan menyediakan laluan domestik baharu bagi memenuhi permintaan pasaran dalam tempoh COVID-19.
"Dengan sempadan antarabangsa masih ditutup, syarikat penerbangan memberi tumpuan meningkatkan keterhubungan tempatan antara negeri-negeri terutama yang mempunyai destinasi pelancongan dan pusat perniagaan yang sering dikunjungi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Disember sahaja, lapangan terbang kendalian MAHB menyaksikan 7 laluan baharu oleh AirAsia dengan kekerapan 3 penerbangan setiap minggu.
AirAsia juga sedang melihat untuk melancarkan laluan baharu antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Terengganu, Februari nanti bagi memperluas pilihan penerbangan sambil meningkatkan keterhubungan penerbangan di Malaysia.
Menurut MAHB, Firefly juga telah memulakan operasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebagai hab kedua syarikat tersebut dengan 3 destinasi baharu dari Pulau Pinang merangkumi Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh menyatakan komitmen syarikat itu untuk memastikan tahap keselamatan tertinggi di setiap lapangan terbang yang dikendalikan syarikat berkenaan.
"Kami telah menerapkan banyak langkah keselamatan dan akan terus menanda aras amalan operasi serta keselamatan berdasarkan piawaian global bagi memastikan penumpang mendapat jaminan pengalaman perjalanan yang selamat," katanya.
MAHB turut mencatatkan 1.2 juta pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen yang dimiliki dan dikendalikannya, bulan lalu sekali gus menyumbang 52 peratus keapda jumlah pergerakan lalu lintar sebanyak 2.3 juta. - DagangNews.com