KUALA LUMPUR 8 Nov - Penunggang ShopeeFood kini mempunyai akses pengajian formal mengenai keselamatan jalan raya serta tindak balas kecemasan dan amalan kecemasan melalui Rakan Penghantar, program perintis yang dianjurkan oleh ShopeeFood.
Objektif utama inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Rakan Penghantar adalah untuk menggalakkan kerjasama antara kementerian yang relevan dengan agensi kerajaan sebagai sebahagian usaha yang berterusan oleh ShopeeFood untuk mendidik rakan penghantar makanan dalam menjaga keselamatan dan mematuhi undang-undang jalan raya.
Latihan tambahan ini akan membantu memperkasakan rakan penghantar makanan bukan dengan amalan keselamatan sahaja, tetapi juga dengan kemahiran kecemasan untuk mengurangkan insiden di atas jalan raya.
Seramai 100 orang penghantar ShopeeFood dari Selangor merupakan kumpulan rakan penghantar pertama yang menyertai program ini.
Ketua Pemasaran ShopeeFood Malaysia, Kwa Yin Leng berkata, pihaknya berbesar hati untuk memulakan program pendidikan ini yang dikhaskan untuk rakan penghantar makanan.
"P-hailing merupakan pekerjaan yang mencabar, menunggang motosikal beratus kilometer setiap hari untuk memastikan makanan disampaikan kepada pelanggan.
"Menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakan penghantar makanan ShopeeFood ialah keutamaan tertinggi kami. Bengkel ini boleh membantu memperkasakan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menjaga keselamatan diri sewaktu kerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, program tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Bin Al Bakri di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), yang turut dihadiri pihak berkepentingan dari APAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Secara keseluruhannya, lima sesi bengkel Rakan Penghantar diadakan dan bengkel dikendalikan di MIROS oleh pelatih berpengalaman dari MIROS dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Setiap sesi bengkel dikendalikan selama empat jam dan menerima 20 rakan penghantar ShopeeFood. Penunggang ShopeeFood yang menghadiri bengkel berkenaan menerima insentif tambahan daripada ShopeeFood termasuk pek permulaan penuh peralatan dan baucar.
ShopeeFood diasaskan pada tahun 2021 untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan memberikan nilai, pilihan dan kemudahan melalui ekosistem berintegrasi, pada masa yang sama, memberikan peluang kepada peniaga untuk menjadi sebahagian daripada ekonomi digital dan mengembangkan perniagaan.
Buat masa ini, ShopeeFood boleh didapati di lima lokasi, termasuk Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Ipoh dan Kota Kinabalu. - DagangNews.com