Penurunan KDNK Q3 dijangka sekitar 2% hingga 3% | DagangNews Skip to main content

Penurunan KDNK Q3 dijangka sekitar 2% hingga 3%

Kuala Lumpur

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku ketiga dijangka menurun dalam jumlah yang lebih kecil iaitu sekitar 2% hingga 3%.  

AmBank Research berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan anggaran awal pihaknya untuk nilai penurunan KDNK suku ketiga pada setiap tahun.

"Berdasarkan data pada Julai dan Ogos, anggaran awal menunjukkan ekonomi domestik akan pulih pada suku ketiga 2020.

"Ia berikutan penguncupan sebanyak 17.1% dalam KDNK suku kedua yang merupakan penurunan paling teruk sejak krisis ekonomi Asia 1997.

"Anggaran awal kami untuk suku ketiga, KDNK akan menurun secara berkontrak dengan jumlah yang lebih kecil iaitu sekitar 2% hingga 3% pada setiap tahun," jelas AmBank Research.

Dalam nota kajian sama, AmBank Research turut menyentuh berkaitan Indeks Pelopor (IP) yang terus menunjukkan prospek ekonomi yang baik.

Prestasi indeks berkenaan turut dilaporkan oleh DagangNews.com dengan peningkatan kepada 108.5 mata pada Ogos berbanding 100.8 mata pada bulan yang sama tahun lalu.

Baca: Ekonomi Malaysia dijangka terus dalam trend pemulihan 

Prestasi itu sekali gus mengekalkan pertumbuhan tahunan sebanyak 7.6%. 

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, IP merosot kepada -0.5% disebabkan oleh bilangan syarikat baharu didaftar (-0.6%), import benar semi konduktor (-0.4%) dan bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (-0.1%).

Meskipun IP perlahan pada bulan rujukan, kadar pertumbuhan terlicin IP adalah konsisten di atas trend dan bergerak ke atas.

Keadaan tersebut menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia dijangka terus dalam trend pemulihan pada bulan-bulan ke hadapan. - DagangNews.com