Penurunan permintaan pengguna, kenaikan tarif elektrik beri kesan keuntungan Duopharma FY23 - TA Research | DagangNews Skip to main content

Penurunan permintaan pengguna, kenaikan tarif elektrik beri kesan keuntungan Duopharma FY23 - TA Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Feb - Prestasi kewangan Duopharma yang lemah pada tahun kewangan 2023 (FY23) antaranya didorong tarif elektrik yang lebih tinggi dan penurunan permintaan sektor penjagaan kesihatan pengguna sebanyak 25%.

 

Menurut TA Securities Research, turut menyumbang ialah kos kewangan yang lebih tinggi dan penutupan sementara loji suntikan volum kecil (SVI).

 

Katanya, untung bersih FY23 Duopharma sebanyak RM52.6 juta (-24.9% YoY) juga berada di bawah unjuran yang dilakukan sebanyak 83.4% manakala keuntungan bersih pada 4Q23 menyusut 5.2% kepada RM8.5 juta berbanding lebih RM17 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

 

"Preskripsi farmasi dan sektor kepakaran etika swasta mengurangkan kesan daripada sumbangan sektor kesihatan awam yang lebih rendah kerana kerajaan tidak membelanjakan banyak untuk perolehan perubatan pada bulan Disember," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

TA Research bagaimanapun percaya penurunan pendapatan Duopharma telah mencecah paras terendah pada tahun 2023 dan cukup optimis terhadap prospek syarikat farmaseutikal itu bagi FY24.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Duopharma terima lanjutan kontrak selama enam bulan bagi membekalkan produk kepada hospital, klinik kerajaan

 

Katanya, ini didorong oleh peruntukan perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi sebanyak RM41.2 bilion kepada sektor penjagaan kesihatan iaitu pertambahan 13.5% berbanding tahun lalu seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024.

 

"Pada masa ini, pembekalan dan penghantaran produk APPL (kontrak senarai pembelian produk) adalah berdasarkan pesanan pembelian kerana perjanjian bekalan baharu sedang dalam tindakan.

 

"Duopharma sedang menunggu kontrak rasmi untuk pemulihan dan kemampanan pendapatan masa hadapan (tempoh kontrak perjanjian pembekalan untuk pembekalan produk APPL telah tamat pada 31 Disember 2023).

 

"Di samping itu, kami percaya bahawa segmen penjagaan kesihatan pengguna juga telah mencapai titik terendah," jelasnya.

 

TA Research mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah pada RM1.47 sesaham. -DagangNews.com