Penutupan berjadual kilang sempena Tahun Baharu Cina dikhuatiri jejas pemulihan industri semikonduktor - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Penutupan berjadual kilang sempena Tahun Baharu Cina dikhuatiri jejas pemulihan industri semikonduktor - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jan - Penutupan kilang berjadual semasa Tahun Baharu Cina tahun ini dijangka menjejaskan kadar pemulihan dalam industri semikonduktor.

 

Kenanga Research berkata, Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) bagaimanapun menjangkakan pertumbuhan 13.1% dalam jualan semikonduktor global pada2024 diterajui cip memori dan litar bersepadu logik, terutamanya di Amerika Syarikat (AS) dan Asia Pasifik.

 

Katanya, bahawa data baru-baru ini menunjukkan corak penyusutan dalam jualan semikonduktor, tetapi ia semakin berkurangan dan sekali gus memberi bayangan bahawa kitarna itu berada pada tahap terendah dalam sektor teknologi.

 

"Oleh itu, kami percaya bahawa pemulihan berkemungkinan berlaku pada separuh kedua 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) menjadi pilihan utama firma penyelidikan itu selepas menunjukkan pemulihan pendapatan positif dan mereka juga mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM27.20 sesaham.

 

"Bagaimanapun, kadar pemulihan itu kekal perlahan kerana pelanggan masih ragu-ragu untuk memberikan komitmen kepada pesanan besar kerana sebahagian besarnya disebabkan peralihan industri kepada pengurusan inventori," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Unisem (M) Berhad (undeperform; TP: RM2.00) gagal mencapai unjurannya buat dua kali berturut-turut, tetapi menjangkakan momentum positif pada separuh kedua tahun ini.

 

Katanya, pemain industri perkhidmatan pembuatan elektronik memerlukan portfolio pelbagai bagi mengekalkan pertumbuhan, dan syarikat yang terdedah kepada produk perindustrian dijangka mengatasi prestasi kumpulan yang bergantung terutamanya pada elektronik pengguna.

Kenanga Research juga mengekalkan pandangan positif terhadap PIE Industrial Berhad (outperform; TP: RM3.80) selepas berjaya meraih pelanggan baharu dan menjangkakan projek baharu menyumbang dengan ketara apabila pengeluaran besar-besaran bermula pada tahun ini. 

Walaupun optimis mengenai prospek jangka panjang NationGate Holdings Berhad (outperform; TP: RM1.70), firma penyelidikan itu menjangkakan pendapatan kumpulan itu mungkin tidak begitu memberangsangkan, disebabkan kelewatan dalam perpindahan pelanggan utama dari China ke Malaysia. - DagangNews.com