Penutupan pencawang TNB makin berkurangan | DagangNews Skip to main content

Penutupan pencawang TNB makin berkurangan

Warga kerja dari TNB Kuala Lumpur Timur dan Bangsar melakukan kerja-kerja mula tugas pencawang elektrik di Kampung Rengai di daerah Kuala Lipis, Pahang setelah dipastikan selamat untuk beroperasi berikutan banjir yang telah surut.

Warga kerja dari TNB Kuala Lumpur Timur dan Bangsar melakukan kerja-kerja mula tugas pencawang elektrik di Kampung Rengai di daerah Kuala Lipis, Pahang setelah dipastikan selamat untuk beroperasi berikutan banjir yang telah surut.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Situasi banjir yang semakin reda secara tidak langsung menyebabkan penutupan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) semakin berkurangan.

 

TNB dalam satu kenyataan berkata, hanya lapan pencawang elektrik di Pahang ditutup setakat pukul 2 petang hari ini.

 

"Penutupan pencawang dilakukan di daerah Pekan, Temerloh dan Bera melibatkan 428 pengguna. 

 

"Sebanyak tujuh pencawang menerima bekalan daripada set janakuasa bergerak.

 

"TNB turut memberi bekalan melalui set janakuasa mudah alih ke tujuh pusat pemindahan sementara yang tidak menerima bekalan daripada pencawang," jelas TNB.

 

Bagi negeri Johor, tiada lagi pencawang dihenti tugas berikutan paras banjir yang semakin menurun.

 

Penutupan pencawang elektrik ketika banjir dilakukan demi keselamatan pengguna dan TNB sentiasa berusaha memulihkan bekalan dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna dan pekerja TNB.

 

Bilik gerakan TNB di Pahang dan Johor masih beroperasi untuk tujuan pemantauan bagi menyampaikan maklumat berkaitan bekalan.

 

Pengguna di kawasan banjir dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR) yang beralih atau tumbang.

 

TNB turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa jauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel
elektrik termasuk yang bersalut dengan penebat yang ditenggelami air. 

 

Jelas TNB, semua itu mungkin masih mempunyai arus bekalan elektrik dan boleh menyebabkan risiko renjatan.

 

"Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air.

 

"Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

 

"Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air," ujar TNB lagi. - DagangNews.com