KUALA LUMPUR 13 Okt - Bagi meraikan kejayaan mencapai lebih daripada 5 juta pengguna myTNB, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan kempen myTNB Giveaway yang berlangsung dari 16 September sehingga 31 Oktober 2021.
Kempen ini memberi peluang kepada pelanggan TNB untuk menjadi antara 500 pemenang baucar Shopee bernilai RM100 setiap satu. Kempen ini terbuka kepada setiap pelanggan yang menghubungkan akaun elektrik kediaman mereka dengan aplikasi atau portal myTNB.
Pemenang bagi kumpulan pertama telah dihubungi pada awal bulan Oktober 2021 menerusi e-mel yang telah didaftarkan. Kumpulan pemenang yang berikutnya akan diumumkan pada setiap dua minggu dengan kumpulan yang terakhir diumumkan pada minggu pertama November 2021. Senarai pemenang boleh didapati di portal myTNB (www.mytnb.com.my) pada November 2021.
Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, aplikasi myTNB telah berkembang pesat sejak diperkenalkan pada tahun 2013.
Katanya, sokongan dan maklum balas daripada pelanggan telah mendorong TNB untuk meningkatkan perkhidmatan agar menjadi lebih baik.
Menurutnya, usaha ini telah menyumbang kepada peningkatan pengguna myTNB daripada 1.4 juta sebelum pandemik kepada 5.3 juta setakat ini.
“Justeru, kami akan terus berusaha untuk memudahkan urusan pelanggan menerusi inovasi berdasarkan analisis keperluan setiap pelanggan dan kemajuan teknologi dalam memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang,” kata Megat dalam kenyataan di sini hari ini.
Kaedah Penyertaan
Terdapat 2 langkah yang mudah untuk menyertai kempen ini. Pertama, pelanggan perlu melakukan mana-mana transaksi berikut di aplikasi atau portal myTNB sepanjang tempoh kempen:
- Melakukan pembayaran penuh bil elektrik;
- Melakukan permohonan baharu untuk penyambungan elektrik;
- Menaik taraf bekalan elektrik kepada tiga fasa; ATAU
- Melakukan permohonan pertukaran penyewa (menukar nama pada akaun TNB)
Kedua, peserta perlu menyiarkan satu hantaran di akaun media sosial mereka yang menyatakan mengapa myTNB menjadi pilihan mereka dengan melengkapkan ayat, “#ilovemyTNB kerana….” tidak lebih daripada 15 patah.
Bagi tujuan semakan, hantaran media sosial tersebut perlu ditetapkan agar dapat dilihat umum. Seramai 500 pemenang akan dipilih daripada mereka yang memenuhi kriteria ditetapkan dan melakukan hantaran umum di akaun media sosial mereka.
Pelanggan yang masih belum memuat turun aplikasi myTNB digalakkan untuk melakukannya dari Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery. Pelanggan juga boleh mendaftar sebagai pengguna myTNB menerusi www.mytnb.com.my
Sila layari: www.mytnb.com.my/promotions/mytnbgiveaway untuk maklumat lebih lanjut mengenai kempen myTNB Giveaway. - DagangNews.com