Penyelesaian inovatif LSD TNB selamatkan 5,000 pokok setahun   | DagangNews Skip to main content

Penyelesaian inovatif LSD TNB selamatkan 5,000 pokok setahun  

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang memulakan projek perintis menggunakan Light Steel Drum (LSD) dalam pembekalan kabel sebagai salah satu alternatif kepada dram kayu mulai pertengahan Mac depan. 

 

TNB dalam satu kenyataan berkata, inisiatif ini akan mengelakkan penebangan 5,000 pokok setahun untuk menyediakan 14,000 dram bagi penggunaan pelbagai saiz kabel yang mana projek ini dimulakan dengan Tenaga Cable Industries Sdn. Bhd. (TCI). 

 

Katanya, sekiranya pelaksanaan ini memberi impak serta memberi manfaat kepada persekitaran maka ia akan dilanjutkan penggunaannya kepada pengilang kabel yang lain. 

 

"Projek perintis ini juga sebahagian daripada usaha proaktif TNB untuk menangani Skop 3 Pelepasan dalam memastikan ekosistem vendor dan rantaian bekalan TNB juga mematuhi piawaian ESG," katanya.

 

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din, projek perintis LSD yang boleh guna semula itu dilaksanakan dengan jayanya sejak Mac tahun 2022, dan mendapat kelulusan Lembaga Pengarah pada November lalu.

 

“Sebenarnya kami telah menukar cabaran kekurangan bekalan dram kayu menjadi peluang meneroka solusi baru yang bukan sahaja menjamin pembekalan kabel, malah menyumbang kepada peningkatan komitmen terhadap ESG,” katanya.

 

Kejayaan projek perintis itu adalah melalui usaha Bahagian Procurement & Supply Chain (P&SC) dengan kerjasama TCI dan Bahagian Rangkaian Pembahagian (DN) serta di enam tapak projek di sekitar Lembah Klang. 

 

 

tnb
                                          Datuk Baharin Din

 

 

Pemerhatian dan analisa mendapati penggunaan LSD adalah lebih berkesan dan tahan lasak  berbanding Hybrid Drum. 

 

Setiap LSD boleh diguna semula sehingga lima kali, sekali gus dapat mengelak penggunaan 2 hingga 3 batang pokok balak dan secara tidak langsung menyumbang kepada lebih banyak karbon dioksida dapat diserap oleh pokok yang diselamatkan.

 

Baharin berkata, kekurangan sumber kayu telah menyebabkan pembekal menaikkan harga dram kayu secara mendadak sehingga 50% pada penghujung tahun 2021 dan tempoh pesanan mendapat bekalan mengambil masa hingga empat minggu, lantas boleh menjejaskan urusan pembekalan kabel.

 

“Penggunaan LSD ini antaranya mengurangkan kebergantungan terhadap sumber semula jadi iaitu kayu balak untuk pembuatan dram kabel, menjamin pembekalan kabel dan turut menyumbang kepada kelestarian ekosistem,” katanya.

 

Katanya, selain memberi kesan positif kepada alam sekitar, LSD yang dipasang dengan alat pengesan untuk mengumpul maklumat termasuk lokasi dan status pergerakan, turut membantu langkah mencegah kecurian.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Perolehan TNB, Amir Mahmod Abdullah berkata, bahagian Procurement & Supply Chain dan TCI merintis projek LSD ke arah "Green Curve" dalam usaha mendukung komitmen ESG TNB.

 

Justeru katanya, ia bertepatan dengan usaha untuk terus membekalkan elektrik berdaya harap serta ke arah kehidupan lebih sejahtera dan lestari, seperti mana komitmen Pelan Peralihan Tenaga TNB. - DagangNews.com