Penyelesaian projek LCS oleh kerajaan dapat pulihkan industri pertahanan maritim negara | DagangNews Skip to main content

Penyelesaian projek LCS oleh kerajaan dapat pulihkan industri pertahanan maritim negara

KD Maharaja Lela akan disiapkan dalam tempoh setahun lagi apabila kerajaan tampil menyelamatkan projek LCS.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR - Dalam tempoh tiga tahun lagi, kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Maharaja Lela akan belayar membelah samudera mengawal perairan negara.

 

Kapal tersebut yang disiapkan dua tahun sebelumnya atau lebih tepat pada November 2024 iaitu mengikut seperti mana yang dijadualkan, jika tiada lagi halangan menganggu projek ini.

 

Setelah melalui beberapa fasa ujian di laut termasuk integrasi sistem persenjataan seperti peluru berpandu dan sistem pertahanan kapal, KD Maharaja Lela melepasi kelayakan.

 

Pada masa sama, LCS kedua yang dinamakan KD Syarif Masahor sempena tokoh pejuang Sarawak juga telah siap dan sedia untuk melalui fasa ujian sebelum diserahkan kepada TLDM setahun kemudian.

 

Kelewatan menyiapkan projek LCS telah memberi kesan kepada TLDM.
Kelewatan menyiapkan projek LCS telah memberi kesan kepada TLDM.


 

Baki tiga lagi LCS masih dalam proses pembinaan mengikut fasa kemajuan masing-masing dengan sasaran semua kapal siap pada 2029.

 

Gambaran tersebut adalah apa yang akan berlaku dalam tempoh tiga tahun lagi setelah projek LCS yang berdepan skandal sebelum ini dipulihkan.

 

Keputusan kerajaan untuk meneruskan projek ini tepat, bukan semata-mata menyelamatkan syarikat pembinaanya, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) seperti diperkatakan sesetengah pihak.

 

Lebih penting lagi ia adalah langkah untuk memulihkan kembali industri pertahanan maritim yang mana sebahagian besarnya berada dalam ekosistem projek tersebut.

 

Projek LCS membabitkan 145 vendor tempatan dan 42 pengilang peralatan asli (OEM) luar negara.

 

Ketua Setiausaha MINDEF, Dato’ Sri Muez Abd Aziz menandatangani kontrak tambahan projek LCS bersama Pengerusi BNSSB, Dato’ Ahmad Nazim Abd Rahman yang disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan.
Ketua Setiausaha MINDEF, DatoSri Muez Abd Aziz (kiri) memeterai kontrak tambahan projek LCS bersama Pengerusi BNSSB, DatoAhmad Nazim Abd Rahman yang disaksikan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Utama Mohamad Hasan di Langkawi.


 

Selain itu, industri maritim atau lebih khusus perkapalan bukan semata-mata pada pembinaan tetapi juga baik pulih dan penyenggaraan.

 

BNSSB melalui beberapa anak syarikatnya juga turut menjalankan kontrak selenggaraan kapal-kapal milik TLDM dan agensi keselamatan lain.

 

Pada satu sudut lain, BNSSB merupakan satu-satunya limbungan perkapalan yang terbaik di Malaysia dengan kemudahan kelas dunia serta tenaga kerja sangat terlatih.

 

Mengikut sejarahnya pula, BNSSB wujud untuk menyokong TLDM bagi senggaraan kapal-kapal perang dan pelbagai sistem persenjataan lain.

 

Jadi, industri ini saling berkait rapat.

 

Limbungan perkapalan BNSSB di Lumut, Perak.
Limbungan perkapalan BNSSB di Lumut, Perak.


 

Sebagai usaha pemulihan, Kementerian Kewangan (MOF) menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih BNSSB sebagai anak syarikat kepada MOF.

 

Jumlah harga kontrak pula telah disemak kepada RM11.2 bilion iaitu meningkat daripada RM9 bilion sebelum ini.

 

Perjanjian ini terhasil daripada semakan menyeluruh terhadap pelbagai pilihan dan semua aspek projek oleh syarikat dan kerajaan.

 

Mengikut sifir, kerajaan terpaksa membayar RM5.2 bilion iaitu tambahan daripada RM6 bilion yang telah dilunaskan kepada BNSSB.

 

Dengan meletakkan BNSSB di bawah MOF, maka isu utama yang menyebabkan kegagalan LCS disiapkan iaitu kelemahan kewangan syarikat telah selesai.

 

Faktor kelemahan kewangan menyebabkan pembinaan lima buah LCS tergendala dengan dua daripadanya telah siap melebihi 60 peratus.

 

Rekaan Gowind menggabungkan teknologi tempur mengikut standard NATO untuk beroperasi di kawasan perairan terbuka.
Rekaan Gowind menggabungkan teknologi tempur mengikut standard NATO untuk beroperasi di kawasan perairan terbuka.


 

Menerusi persetujuan baharu ini, kerajaan turut meletakkan keutamaan yang mana ia boleh membuat pembayaran terus kepada OEM.

 

Tiga pentadbiran kerajaan sebelum ini tidak dapat memutuskan jalan penyelesaian skandal LCS apabila ia memerlukan komitmen kewangan yang besar.

 

Situasi menjadi rumit kerana pembinaan LCS bukan melibatkan BNSSB sahaja sebagai kontraktor utama tetapi juga syarikat Naval Group dari Perancis selaku pemilik reka bentuk kapal tersebut.

 

Ini kerana LCS dibina berasaskan kapal kelas Gowind buatan Perancis yang mempunyai tiga jenis rekaan berdasarkan saiz berbeza iaitu kapal peronda pesisir, korvet dan frigat.

 

Gowind juga bukanlah rekaan kapal tempur yang gagal kerana ketika ini enam buah kapal saiz korvet telah dioperasikan oleh Mesir dan Argentina, manakala Emiriah Arab Bersatu bakal menerima dua buah kapal sama.

 

Kapal Gowind El Fateh milik Mesir yang bersaiz korvet manakala TLDM memilih saiz frigat yang lebih besar.
Kapal Gowind El Fateh milik Mesir yang bersaiz korvet manakala TLDM memilih saiz frigat yang lebih besar.

 

LCS melengkapkan wawasan aset-aset 15 to 5 TLDM.
LCS melengkapkan wawasan aset-aset 15 to 5 TLDM.

 

Bagaimana pun, Malaysia merupakan pelanggan pertama Perancis apabila negara memilih rekaan kapal kelas Gowind untuk projek LCS pada tahun 2011.

 

Berbeza dengan negara Mesir dan Argentina, kita memilih untuk membina kapal frigat yang saiznya lebih besar.

 

Apabila projek pemulihan LCS dipantau oleh MOF, maka keyakinan untuk pembinaan kapal-kapal dilakukan mengikut jadual sangat tinggi selain ada sumber kewangan.

 

Paling kritikal dalam projek ini ialah penglibatan Naval Group bukan sahaja selaku pemilik reka bentuk, tetapi firma ini sendiri telah berjaya menyiapkan kapal Gowind Mesir dan Argentina.

 

Naval Group turut komited dalam usaha memastikan LCS siap sepenuhnya dalam masa ditetapkan kerajaan Malaysia, serta menyokong penuh usaha meneruskan projek tersebut.

 

Sebagai pemilik rekaan Gowind, penglibatan langsung Naval Group memberi jaminan bahawa projek pemulihan LCS tidak sukar.

 

Justeru, fokus semua pihak yang terlibat selepas ini ialah untuk menyiapkan LCS pertama, KD Maharaja Lela kerana hanya setelah kapal ini siap, maka proses untuk menyiapkan baki kapal lain berjalan lancar. - DagangNews.com