KUALA LUMPUR 17 Ogos - Penyenaraian TNB Power Generation Sdn. Bhd. atau dikenali sebagai TNB Genco dijangka mengambil masa yang lebih lama memandangkan ia akan memberi tumpuan untuk meningkatkan kecekapan aset sedia ada dan penyahkarbonan.
Penganalisis CGS-CIMB Research, Ngo Siew Teng berkata, TNB Genco menyasarkan untuk mengembangkan hasilnya kepada RM40 bilion menjelang 2050 menerusi pelbagai projek antaranya, hidroelektrik Nenggiri dan pasaran hijau seperti hab hidrogen hijau.
Katanya, entiti itu juga mahu mengembangankan perniagaan janakuasa antarabangsa daripada gas (Vietnam, Thailand dan Indonesia) dan hidrogen (Laos dan Indonesia) dengan sasaran untuk mencapai kapasiti 800 megawatt (MW) menjelang 2050.
"Ini akan menyaksikan entiti ini akan berkembang sebagai penjana elektrik yang lebih bersih melalui penamatan awal beberapa loji arang batu terpilih, tertakluk kepada persetujuan dengan pemegang saham sedia ada dan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.
"Ia juga merancang untuk memperkasakan semula janakuasa yang ditamatkan itu dengan bahan api yang lebih bersih dan teknologi hijau baharu seperti hidrogen hijau dan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta menjalin kerjasama strategik dengan usaha niaga gas/hidro antarabangsa dan pembangunan grid kuasa di ASEAN.
"Oleh itu, kami berpendapat, cadangan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) untuk menyenaraikan TNB Genco mungkin tidak akan berlaku dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam laporan Reuters pada Jumaat lalu yang memetik sumber, TNB dilaporkan akan memulakan proses penyenaraian TNB Genco pada tahun hadapan.
Dilihat bakal menjadi tawaran awam permulaan (IPO) terbesar negara dalam sedekad, TNB Genco dianggar bernilai kira-kira AS$4 bilion.
Hasil daripada penyenaraian itu akan digunakan untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE). TNB Genco.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap TNB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM13.30.
Sementara itu, penganalisis RHB Research, Sean Lim berkata, TNB Genco kini memiliki 53% bahagian pasaran penjanaan domestik, dengan kapasiti kontrak berjumlah 14GW.
Katanya, penamatan awal loji arang batu terpilih, diikuti dengan penjanaan semula gas boleh membolehkan TNB bebas arang batu menjelang awal 2040 dan turut meneroka teknologi CCUS untuk digunakan pada loji arang batu dengan tempoh perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang agak lebih lama.
Sempena hari pelabur yang dianjurkan TNB semalam, beliau berkata, pengurusan memberi petunjuk bahawa CCUS boleh menelan kos kira-kira RM100 juta untuk kapasiti 100MW, dan berdasarkan perbincangan semasa, tidak mungkin TNB akan melepaskan kos tersebut.
"Sementara itu, TNB Genco juga akan memberi tumpuan kepada usaha niaga gas dan hidro antarabangsa, terutamanya di rantau ASEAN.
"Hidrogen hijau ialah satu lagi faktor pertumbuhan jangka panjang, dengan 22% sasaran bahagian pasaran bekalan menjelang 2050.
"Oleh itu, pengurusan menekankan pelan penyenaraian mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya 2 hingga 3 tahun untuk menjadi kenyataan," jelasnya.
Ini mendorong RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap TNB dengan harga sasaran pada RM9 berbanding RM8.60 sebelum ini.
Setakat 9.27 pagi ini, harga saham TNB kekal tidak berubah pada RM8.89 sesaham. - DagangNews.com