KUALA LUMPUR 9 Mac - Top Glove Corp. Bhd. akan meneruskan langkah penyenaraian di Hong Kong pada masa yang sesuai dengan mengambil kira perkembangan dalam pasaran kewangan global.
Bagaimanapun, syarikat pengeluar sarung tangan getah itu, akan terus memantau keadaan pasaran, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan laporan semalam mengenai kelewatan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Hong Kong.
“Keputusan syarikat sentiasa untuk faedah jangka panjang syarikat dan pemegang kepentingannya,” katanya.
Semalam, Reuters melaporkan Top Glove menangguhkan rancangan untuk menjana AS$347 juta menerusi penyenaraian di Hong Kong apabila pencerobohan Rusia ke atas Ukraine menjejaskan sentimen pelabur dan meningkatkan ketidaktentuan pasaran.
Susulan itu, dalam satu kenyataan ringkas kepada media, Top Glove berkata, ia telah memutuskan memberi lebih banyak masa untuk meneruskan penyenaraian di Bursa Saham Hong Kong (HKEX) berikutan 'perubahan perkembangan dalam industri dan keadaan pasaran ekuiti semasa.'
Top Glove yang mendapat manfaat daripada permintaan sarung tangan getah pakai buang semasa pandemik COVID-19, mempunyai penyenaraian utama di Kuala Lumpur dan penyenaraian sekunder di Singapura. Ia merancang penyenaraian di Hong Kong untuk meluaskan asas pelaburnya.
Pada 8 Disember 2021, syarikat itu menjangkakan penyenaraian yang dicadangkan di HKEX itu akan diselesaikan pada suku pertama 2022. - DagangNews.com