Penyertaan dalam BAASB lengkapkan portfolio SUV Bermaz | DagangNews Skip to main content

Penyertaan dalam BAASB lengkapkan portfolio SUV Bermaz

Bermaz Auto Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Penyertaan dan kedudukan syarikat pengedar tunggal kereta Mazda di Malaysia, Bermaz Auto Berhad (Bermaz) dalam Berjaya Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB) memberi kelebihan kepada portfolio model kenderaan utiliti sukan (SUV) bersama rakan utama baharu.

 

CGS-CIMB Research berkata, penyertaan tersebut melengkapkan penawaran portfolio SUV yang sedia ada sekali gus membolehkan syarikat berkenaan mengikuti penembusan SUV yang semakin meningkat di pasaran automotif Malaysia.

 

"BAASB menyasarkan jumlah jualan sebanyak 3k pada 2021 dan 5k pada 2022.

 

"Sasaran itu didorong oleh pelancaran baharu seperti Peugeot 2008," jelas CGS-CIMB Research.

 

Groupe PSA yang berpangkalan di Perancis telah menganugerahkan Berjaya Corp Bhd. dan Bermaz sebagai pengedar tunggal kenderaan Peugeot baharu melalui syarikat yang baru ditubuhkan iaitu BAASB.

 

Ini termasuk hak penjualan dan penjualan alat ganti untuk kenderaan Marque Peugeot, Citroen dan DS di Malaysia.

 

Berjaya Corp memiliki 51% pegangan di BAASB, sementara Bermaz Auto menguasai 20% saham di syarikat baru itu.

 

Bagi Groupe PSA, penghargaan tersebut adalah kerjasama baharu yang diharapkan dapat membolehkan syarikat itu meneruskan strategi pertumbuhannya di Malaysia.

 

Jelas CGS-CIMB Research lagi, BAASB juga melihat peluang yang baik untuk alat ganti dan perkhidmatan selepas jualan kerana terdapat lebih daripada 11k kereta Peugeot yang terjual di pasaran Malaysia sejak 2015.

 

Sementara itu, MIDF Research pula memberitahu, pemilikian ekuiti sebanyak 20% dalam BAASB adalah satu perkembangan positif bagi Bermaz.

 

"Kami tidak membuat perubahan dalam ramalan pendapatan Bermaz sementara menunggu keputusan suku kedua 2021 Bermaz pada minggu hadapan," jelas MIDF Research.

 

MIDF Research mengambil keputusan untuk mengekalkan saranan 'beli' saham Bermaz dengan harga sasaran sesaham (TP) yang tidak berubah iaitu RM1.75.

 

Sementara CGS-CIMB Research menggkalkan saranan 'tambah' saham Bermaz bersama harga (TP) bernilai RM1.80. - DagangNews.com