KUALA LUMPUR 15 Sept. - Perak Corporation Berhad (PCB) yang memegang kira-kira 60% aset Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) berada dalam fasa pengakhiran operasi.
Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, PCB telah diheret ke mahkamah kerana gagal membuat pembayaran pinjaman yang dikeluarkan oleh pihak pemiutang dan bank.
"PCB membuat pinjaman berjumlah RM520 juta dari bank untuk tujuan pelaburan di Movie Animation Park Studio (MAPS). Tambahan RM200 juta pula dipinjam untuk tujuan membayar kontraktor.
"Semua pinjaman ini gagal dibayar. Kini jumlah aset terkumpul adalah RM742,273 juta, bagaimanapun jumlah tanggungan sudah melebihi RM751,361 juta," katannya dalam satu sidang akhbar seperti dipetik Malay Mail.
Pada 2012, PCB mempunyai baki tunai hampir RM200 juta dan aset bernilai RM1.2 bilion.
Jumlah tersebut adalah termasuk 243 hektar tanah di Meru Raya dan 243 hektar lagi di beberapa kawasan lain.
Terkini, PCB hanya mempunyai baki tunai RM27,806 dan kehilangan hampir separuh daripada nilai asetnya.
Tambah Hamidah, PCB hanya mempunyai masa hingga 23 Oktober untuk menyelesaikan hutang atau berisiko untuk penerimaan (receivership).
"Mahkamah Tinggi di sini memberikan 90 hari mulai 23 Julai untuk mengatur skim komprehensif dengan pemiutang yang mustahil dapat diselesaikan.
"Jika PCB masuk ke dalam penerimaan (receivership), maka MAPS, Hotel Casaurina Meru, Lumut Port dan tanah milik kumpulan akan dilelong.
"Kerajaan negeri harus bertindak segera untuk menyelamatkan aset negeri terutamanya Pelabuhan Lumut. Kami tidak mahu pelabuhan kami dimiliki oleh orang asing kerana bakal membawa masalah keselamatan," tambahnya lagi.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberitahu, PCB kini berada di bawah PN17 dan pihaknya telah melakukan beberapa transformasi untuk menghidupkan semula PCB.
"Kami mempunyai beberapa pemimpin korporat yang terkenal untuk membantu menguruskan PCB dan kami sudah merancang untuk menyelesaikan masalah dalam PCB.
"Kami tiada niat untuk menjual aset kami di PCB. Dan saya memberi jaminan bahawa kita tidak akan menjual Pelabuhan Lumut. Kami akan mencari jalan untuk mengeluarkan PCB dari PN17,"jelasnya. - DagangNews.com