IPOH 5 Dis - Empat permohonan perolehan hartanah peserta Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) telah diluluskan di Perak membabitkan kutipan levi sebanyak RM50,700.
Kelulusan tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak (PTG) sehingga 1 November 2023.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program MM2H diperkenalkan kerajaan Persekutuan pada 2002 untuk menarik warga asing tinggal dalam jangka masa panjang di Malaysia.
Menurut beliau, perolehan levi tersebut berdasarkan rekod sistem e-Tanah dari tahun 2020 hingga kini.
"MM2H untuk membolehkan warga asing yang memenuhi syarat-syarat menetap di Malaysia sebagai rumah kedua mereka.
"Program sebelum ini ditutup sementara sejak September 2020 hingga September 2021 supaya kerajaan dapat mengkaji semula syarat program dan keutamaan dapat diberikan kepada aspek keselamatan negara,”katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini.
Saarani menambah, kerajaan negeri telah menetapkan Dasar Perolehan Hartanah Oleh Warganegara Asing di Negeri Perak melibatkan tujuh aspek.
"Ia membabitkan penetapan paras harga minimum mengikut zon pihak berkuasa tempatan, kategori dan jenis hartanah, penetapan had kuota perolehan, penetapan jenis pegangan perolehan.
"Seterusnya perolehan hartanah oleh warga asing, penetapan kadar bayaran levi perolehan hartanah, penetapan kadar harga minimum hartanah program MM2H dan perolehan hartanah oleh penduduk tetap dan larangan perolehan hartanah oleh warga asing," katanya.
Jelas beliau lagi, pada Ogos 2021, syarat baharu untuk program MM2H diumumkan kerajaan iaitu peserta mesti mempunyai simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta.
“Berbanding ditetapkan sebelum ini antara RM300,000 hingga RM500,000.
“Selain itu, pendapatan luar negara peserta MM2H mesti sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini.
“Termasuk mereka juga perlu mempunyai aset cair bernilai sekurang-kurangnya RM1.5 juta,” ujarnya.- DagangNews.com