Perak SADC intai peluang niaga di Turkiye, teroka kerjasama dengan rakan strategik | DagangNews Skip to main content

Perak SADC intai peluang niaga di Turkiye, teroka kerjasama dengan rakan strategik

Dua reruai usahawan Perak yang menyertai Halal Expo 2023 di Turkiye.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 29 Nov - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) menyertai Ekspo Halal dan Perdagangan 2023 di Istanbul, Turkiye bagi meneruskan inisiatif untuk meningkatkan lagi perniagaan di pentas global.

 

Ini bertujuan mengenalpasti rakan-rakan niaga baharu yang berpotensi sambil memberi sokongan kepada usahawan-usahawan Perak khususnya yang menyertai ekspo tersebut.

 

Pameran perdagangan dan program berkaitan industri halal kedua terbesar di dunia selepas MIHAS ini menghimpunkan penyertaan lebih 500 syarikat dari 45 negara dengan sasaran lebih 40,000 pengunjung. 

 

Ia memfokuskan pelbagai bidang dalam industri halal seperti pensijilan halal dan akreditasi, makanan, minuman, pakaian, kesenian, logistik, kraftangan, forum dan program padanan perniagaan.

 

Sadc
Yahanis (tengah) semasa menyertai Halal Expo 2023 di Istanbul, Turkiye.

 

Dua syarikat usahawan Perak iaitu Syilis Food Manufacturing Sdn. Bhd. dan Imperia Asia International Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian persefahaman bagi menembusi pasaran di sana.

 

Perjanjian ini bagi membolehkan kedua-dua syarikat memasarkan produk di Turkiye dengan bantuan Iman Ventures Ic Ve Dia Ticaret Limited Sirketi sebagai pihak pengimport. 

 

Iman Ventures Ic Ve Dis Ticaret Limited Sirketi merupakan sebuah syarikat pemasaran yang berpengkalan di Istanbul, Turkiye.

 

Delegasi Perak SADC yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato' Yahanis Yahya turut melakukan lawatan kerja ke syarikat 7 Foods di Izmir yang menjalankan perniagaan tomato kering untuk pasaran eksport.

 

Sadc

 

Anak syarikat Perak SADC, Eurofresh sedang dalam proses untuk membawa masuk produk 7 Foods ke Malaysia dengan pihak Eurofresh sebagai pembekal utama untuk pasaran serantau.

 

Pada lawatan tersebut beberapa sampel produk telah dibawa pulang ke Malaysia untuk proses pengesahan halal dan SIRIM ebelum pembelian berskala besar dijalankan.

 

Dalam pada itu sebanyak 10 usahawan dari Perak yang menerima pelbagai bantuan kerajaan negeri telah dibawa menyertai ekspo ini melalui Pavilion Malaysia.

 

Delegasi Perak diketuai Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Halizah Sipun.- DagangNews.com