Perak SADC terima kelulusan skim pengendalian melombong, bolehkan aktiviti perlombongan NR-REE diperluaskan | DagangNews Skip to main content

Perak SADC terima kelulusan skim pengendalian melombong, bolehkan aktiviti perlombongan NR-REE diperluaskan

Kawasan projek perintis perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, Gerik.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 24 Nov - Perak akan memperluaskan lagi projek perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang kini mempunyai potensi besar sebagai sumber ekonomi baharu negeri tersebut.

 

Ia susulan penyerahan surat kelulusan skim pengendalian melombong (SKSPM) diberikan Jabatan Mineral & Geosains (JMG) Perak kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).

 

Projek perlombongan NR-REE pertama negeri ini telah dimulakan di atas tanah ladang milik Perak SADC di atas tanah seluas 216 ekar di daerah Hulu Perak.

 

Ini merupakan projek perintis dan telah terbukti membawa pulangan hasil yang tinggi kepada kerajaan negeri Perak.

 

Sadc
Mat Niza (dua dari kanan) menyerahkan dokumen SKSPM kepada Noor Haslina di pejabat JMG Ipoh. 

 

SKSPM ini membolehkan Perak SADC melakukan perluasan aktiviti melombong NR-REE di luar kawasan projek perintis dalam Mukim Kenering, Gerik sekali gus meningkatkan lagi produktiviti NR-REE di negeri Perak.

 

Terdahulu, penyerahan surat kelulusan SKSPM tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah JMG Perak, Mat Niza Abdul Rahman kepada Pengurus Besar Pembangunan Tanah dan Hartanah Perak SADC, Noor Haslina Ali.

 

Perlombongan di tapak projek perintis itu merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam memastikan aktiviti perlombongan NR-REE dijalankan secara cekap dan teratur melalui SOP yang dibangunkan.

 

Kerajaan Perak sebelum ini berhasrat memperluas kawasan operasi perlombongan NR-REE lantanid di Mukim Kenering pada keluasan 2,160.6 hektar, berbanding keluasan 87.4 hektar sedia ada.

 

Sadc

 

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata, keluasan 2,160.6 hektar itu adalah sebagaimana kawasan yang diluluskan menerusi laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).

 

Bagaimana pun kata beliau, penilaian pembukaan kawasan baharu bergantung kepada satu badan bebas melalui Jawatankuasa Audit yang dibentuk

 

Setakat Julai lalu, operasi projek perintis perlombongan itu berjaya menjana hasil royalti kepada kerajaan negeri hampir RM16 juta bagi 10 kali pengeksportan produk akhir lombong iaitu nadir bumi karbonat (REC) ke China.- DagangNews.com