Perak sedia peruntukan RM4.8 juta jayakan inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani dan bantuan mahasiswa | DagangNews Skip to main content

Perak sedia peruntukan RM4.8 juta jayakan inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani dan bantuan mahasiswa

Seramai 28,281 pelajar dari 256 buah sekolah menerima manfaat menerusi program TCS.
Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 8 Feb - Kerajaan Negeri Perak meneruskan inisiatif di bawah program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) iaitu Bantuan Makanan Pelajar dengan peruntukan berjumlah RM2.8 juta. 

 

Ia bakal memberi manfaat kepada 28,281 pelajar dari 256 buah sekolah iaitu calon Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Vokasional Malaysia.

 

Melalui program ini, kesemua calon peperiksaan terbabit akan diberikan bantuan makan tengah hari selama 20 hari iaitu ketika menghadiri kelas tambahan sehinggalah sepanjang hari peperiksaan.

 

Program ini dibiayai lima syarikat berkaitan kerajaan negeri iaitu Lembaga Air Perak dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak yang masing-masing menyumbang RM1 juta.

 

Perbadanan Menteri Besar pula menyumbang RM700,000, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (RM500,000) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (RM200,000).

 

Baki daripada sumbangan ini pula akan dimanfaatkan bagi menjayakan pelbagai program pendidikan lain di bawah inisiatif TCS.

 

Dalam pada itu, peruntukan sebanyak RM2 juta disediakan kerajaan Perak menerusi Bantuan Sara Diri Mahasiswa dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa.

 

 

MBI
Datuk Seri Saarani Mohamad (lima, kanan) bersama wakil-wakil GLC yang memberikan sumbangan di pejabatnya di Ipoh, Perak pada 8 Februari 2023.

 

 

Bantuan ini merupakan salah satu program di bawah inisiatif TCS yang mana nilainya meningkat sebanyak RM1.4 juta berbanding RM600,000 tahun lalu. 

 

Ia meliputi peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk program Bantuan Sara Diri Mahasiswa, manakala bakinya bagi Bantuan Kecemasan Mahasiswa.

 

Bantuan Sara Diri Mahasiswa ini melibatkan pemberian RM500 hingga RM2,000 kepada mahasiswa anak negeri bagi peringkat diploma hingga Ijazah Doktor Falsafah.

 

 

MBI
Inisiatif program TCS menyediakan makanan percuma kepada calon peperiksaan awam di Perak.

 

 

Pemohon hendaklah sedang mengikuti pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

 

Bantuan Kecemasan Mahasiswa pula disalurkan melibatkan kejadian musibah atau bencana sehingga RM5,000.

 

Terdahulu, pelancaran bantuan berkenaan dan penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di pejabatnya, di sini hari ini. - DagangNews.com