Perak umum bonus dua bulan gaji kepada penjawat awam, Belanjawan Perak 2024 catat peruntukan terbesar RM1.35 bilion | DagangNews Skip to main content

Perak umum bonus dua bulan gaji kepada penjawat awam, Belanjawan Perak 2024 catat peruntukan terbesar RM1.35 bilion

Lebih 7,800 penjawat awam Perak akan menerima bonus dua bulan gaji.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 1 Dis - Kerajaan negeri Perak meluluskan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di negeri ini melibatkan lebih 7,800 penerima.

 

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan ucapan Belanjawan Negeri Perak 2024 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

 

Saarani berkata, bayaran tersebut turut dinikmati Exco kerajaan negeri, Ex-Officio, semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian.

 

"Kerajaan negeri sentiasa menyanjung tinggi jasa dan komitmen penjawat awam sebagai tunjang dan tonggak kepada urusan pentadbiran kerajaan.

 

Mb
Saarani semasa membentangkan Belanjawan Perak 2024 pada Sidang DUN Perak.

 

"Sebagai menghargai dedikasi tidak berbelah bahagi dalam memikul tugas yang diamanahkan, saya dengan ini mengumumkan pemberian BKK pada kadar dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri," katanya

 

Jelasnya lagi, ia turut dipanjangkan kepada semua ketua kampung bagi lantikan sebelum 15 Disember 2023 pada kadar RM400 seorang.

 

Bayaran penuh BKK tersebut akan dibuat pada 20 Disember ini.

 

Terdahulu, Saarani membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2024 bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ berjumlah RM1.35 bilion iaitu yang terbesar dalam sejarah negeri itu.

 

Dun
Seorang kakitangan Jabatan Penerangan negeri Perak semasa mendengar pembentangan Belanjawan Perak 2024.

 

Ia meliputi perbelanjaan pembangunan sebanyak RM491.0 juta (36.5%) dan perbelanjaan mengurus RM856.0 juta (63.5%).

 

Daripada jumlah perbelanjaan mengurus tersebut, belanja emolumen berjumlah RM404.3 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM316.7 juta), pembelian aset (RM15.3 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM113.8) juta serta lain- lain perbelanjaan (RM5.9 juta).- DagangNews.com