Peralihan ke platform digital baharu, Kenanga Research jangka prospek media tradisional kekal suram | DagangNews Skip to main content

Peralihan ke platform digital baharu, Kenanga Research jangka prospek media tradisional kekal suram

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Dis - Kenanga Research menjangkakan prospek bagi media tradisional kekal suram berikutan peralihan kepada platform digital baharu seperti media sosial, aplikasi mudah alih dan laman web.

 

Bagaimanapun, laman web akhbar dan majalah tidak dapat menangkap bahagian pasaran yang hilang seperti yang digambarkan oleh bahagian pasaran periklanan (adex) digital.

 

Ironinya, laman web media tradisional di Malaysia sebahagiannya bergantung kepada media sosial untuk pedapatan adex dan trafik digital.

 

"Ini terbukti dalam kes Media Chinese International Limited (underperform; TP: 10 sen), dengan adex 1HFY24 merosot sebanyak 10% disebabkan perubahan dalam algoritma berita Facebook dan penamatan perkhidmatan artikel segeranya sejak April 2023.

 

"Ini telah menyebabkan lebih sedikit pembaca yang diarahkan ke tapak mereka dan pengurangan hasil pengiklanan program langsung daripada Facebook," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, adex bagi sembilan bulan tahun ini menguncup sebanyak 2.4% kepada RM3.1 bilion apabila perbelanjaan pemasaran menjunam untuk surat khabar (-17%), televisyen (-0.5%), dan radio (-2%).

 

Katanya, walaupun adex pada suku ketiga  meningkat disebabkan pilihan raya negeri tetapi tidak menjangka ia akan berulang dalam jangka sederhana memandangkan pilihan raya negeri diadakan setiap lima tahun.

 

"Melangkah ke hadapan bagi 2024, kami menjangkakan adex agak lemah memandangkan kekurangan peristiwa pemangkin utama. 

 

"Pada tahun hadapan, kecuali untuk kejohanan Piala Thomas dan Sukan Olimpik, tiada pilihan raya besar akan datang atau acara sukan global seperti Piala Dunia," katanya.

 

Kenanga Research percaya bahawa kemajuan berterusan dalam kecerdasan buatan (AI) boleh meluaskan peneraju daya saing yang dipegang oleh platform media antarabangsa dan media sosial.

 

Sebagai contoh, penerapan AI dalam platform penstriman (iaitu Youtube, Spotify, Netflix dan Disney Plus) menghasilkan kandungan susun atur yang diperibadikan yang sepadan dengan keutamaan setiap individu.

 

"Kami menyamak turun penarafan sektor media kepada 'underweight' berbanding 'neutral'," katanya. - DagangNews.com