Peralihan tenaga TNB tepati agenda negara tangani perubahan iklim | DagangNews Skip to main content

Peralihan tenaga TNB tepati agenda negara tangani perubahan iklim

Nik Nazmi Nik Ahmad (empat, kiri) diiringi Datuk Ir Baharin Din (tiga, kiri) mendengar penerangan mengenai Projek Hidroelektrik Nenggiri yang disampaikan oleh Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti (dua, kiri) ketika Lawatan Kerja Delegasi NRECC ke Ibu Pejabat TNB Bangsar, Kuala Lumpur pada 10 Januari 2023

KUALA LUMPUR 11 Jan - Langkah Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerajui pelaksanaan peralihan tenaga dengan aspirasi pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 menepati agenda negara menangani perubahan iklim, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad. 

 

Nik Nazmi berkata, beliau amat tertarik dengan Pelan Peralihan Tenaga TNB untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selari dengan hasrat kerajaan untuk terus membekalkan elektrik kepada rakyat ke arah kehidupan lebih sejahtera dan lestari, dengan komitmen memenuhi kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Beliau turut memuji usaha TNB beralih kepada tenaga solar, hidro serta teknologi penjanaan menggunakan hidrogen dan ammonia bagi mengurangkan pelepasan karbon.

 

Katanya, ia permulaan baik bagi menangani isu perubahan iklim dan mencapai ekonomi kitaran pelepasan sifar bersih. 

 

"Kerajaan akan memberi sokongan sewajarnya untuk membentuk polisi bagi menggalakkan perkembangan ekosistem peralihan tenaga negara,” katanya ketika berucap kepada warga kerja TNB sempena lawatan kerja pertamanya ke Ibu Pejabat TNB di Bangsar, semalam.

 

Tegasnya, NRECC komited untuk meningkatkan penjanaan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) melalui Pelan Pembangunan Penjanaan Pembekalan Elektrik 2021-2039.

 

"Mengambil kira kepentingan mengimbangi permintaan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon, NRECC juga akan terus memacu inisiatif kecekapan dan penjimatan tenaga melalui Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara," katanya.

 

Beliau mendapat taklimat daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din mengenai peranan penting TNB dalam memastikan bekalan elektrik yang selamat, berdaya harap dan berkualiti kepada lebih 9.66 juta pelanggan di Semenanjung Malaysia. 

 

“Kementerian menyedari bahawa sebahagian besar keuntungan TNB digunakan untuk membangunkan aset-aset utama syarikat bagi mengukuhkan lagi sistem perbekalan elektrik negara demi kesejahteraan rakyat amnya," kata Nik Nazmi.

 

Mengakui bahawa perkembangan TNB sentiasa dekat dengan hatinya, beliau berkata, pelaburan infrastruktur elektrik amat penting demi komitmen TNB sebagai peneraju peralihan tenaga negara. 

 

“Selepas penswastaan, TNB menjadi antara GLC paling berjaya bukan sahaja daripada segi perkhidmatan bekalan elektrik, tapi juga dividen kepada GLIC. Sumbangan ini sangat besar dan ia dapat dinikmati rakyat," katanya.

 

Justeru katanya, NRECC amat menghargai peranan dan usaha TNB sejak zaman National Electricity Board atau Lembaga Letrik Negara (NEB/LLN) lebih 73 tahun lalu dalam menyempurnakan tanggungjawab utama memastikan kestabilan perbekalan elektrik negara disamping melaksanakan tanggungjawab sosial dan pembangunan ekonomi. 

 

Dalam pada itu, beliau turut melawat bilik operasi National Load Dispatch Centre (NLDC) yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Datuk Ir Abdul Razib Dawood; Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) NRECC, Datuk Mohamad Razif Abd Mubin; Timbalan Ketua Setiausaha (Alam  Sekitar) NRECC, Noor Afifah Abdul Razak dan barisan pengurusan tertinggi TNB. 

 


 Baharin pula berkata, sebagai syarikat yang peka dengan isu perubahan iklim, TNB mengambil langkah berani dan mengumumkan aspirasi Hala Tuju Kelestarian 2050 dan komitmennya dalam 
menerajui perjalanan peralihan tenaga Malaysia. 

 

“Selain sasaran pelepasan karbon sifar bersih daripada sektor penjanaan, langkah-langkah mempercepatkan pacuan peralihan tenaga termasuk meluaskan pasaran Tenaga Boleh Baharu (TBB), memperkasa grid dan membangunkan ekosistem kenderaan elektrik (EV). 


 
“Kesemua langkah ini menyumbang kepada kesejahteraan alam dalam menangani perubahan iklim. Ia adalah transformasi penjanaan elektrik dan pacuan sektor pertumbuhan baharu berkaitan peralihan tenaga termasuk mobiliti rendah karbon, penyimpanan tenaga serta tenaga baharu seperti hidrogen," katanya. 


 
Dalam menuju pelepasan karbon sifar bersih 2050, katanya, TNB komited mencapai sasaran penjanaan 8,300MW TBB pada 2025, diikuti pengurangan 35% intensiti pelepasan karbon dan 50% kapasiti penjanaan arang batunya menjelang 2035. - DagangNews.com