KUALA LUMPUR 9 Mac – Percambahan ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kian berkembang luas dan giat dieksplorasi pada abad ke-21 kini.
Perkembangan yang positif dan memberangsangkan ini dapat dilihat dengan jelas melalui kemajuan penyelidikan, pembangunan potensi serta penghasilan produk dari bidang-bidang kritikal melibatkan perubatan, kejuruteraan, bio-teknologi dan yang sehubungan dengannya.
Sebagai contoh, penghasilan vaksin COVID-19 adalah merupakan bukti nyata berkaitan kepentingan dan impak manfaat ilmu sains dan teknologi demi memelihara kelangsungan kehidupan dan kesihatan tubuh badan manusia sejagat dari serangan virus Corona yang bukan sahaja telah menggemparkan dunia baru-baru ini malahan telah meragut puluhan ribu nyawa berdasarkan kepada laporan kes kematian seperti yang telah direkodkan di negara ini.
Bertitik tolak dari kesedaran mengenai kepentingan melestarikan ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau ringkasnya dikenali sebagai STEM, pihak Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Dengkil telah pun mengorak langkah awal melalui inisiatif penganjuran dan pelaksanaan pelbagai program berasaskan STEM yang berpaksikan kepada misi, visi serta objektif yang telah diselaraskan oleh National STEM Movement berlandaskan kepada keperluan dan hala tuju yang telah ditetapkan oleh Dasar Pendidikan Negara.
Matlamat utama program yang telah dilaksanakan oleh unit STEM Pusat Asasi UiTM adalah tertumpu kepada penyampaian dan eksplorasi ilmu serta pembudayaan STEM bermula di peringkat sekolah melalui penglibatan para pelajar dan pendidik secara kolektif.
Secara asasnya, unit STEM Pusat Asasi UiTM telah diwujudkan pada tahun 2017 yang mensasarkan penglibatan lima teras utama bidang ilmu iaitu fizik, kimia, biologi, matematik dan sains komputer.
Terdapat lebih dari 12 buah program mencakupi kelima-lima teras bidang ilmu tersebut telah berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh penubuhannya bermula dari tahun 2017 lagi.
Aktiviti yang telah dijayakan meliputi pendedahan awal berkenaan kesedaran dan kepentingan STEM yang mensasarkan kepada para pelajar menengah rendah, perkongsian idea amali makmal berteraskan elemen STEM bersama para pendidik, pendedahan kepada pertandingan inovasi berteraskan STEM di peringkat kebangsaan dan antarbangsa bagi para pelajar di peringkat asasi, serta mempromosi kepentingan STEM melalui penyertaan pameran oleh jemputan pihak luar, sebagai contoh; penyertaan pameran STEM di Kuala Lumpur Engineering & Science Fair (KLESF) 2018 yang telah diadakan di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Seri Kembangan, Selangor.
Unit STEM Pusat Asasi UiTM turut membuka ruang kepada para pelajar dari aliran asasi sains dan kejuruteraan untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan STEM atau lebih dikenali sebagai ASiD STEM Rangers.
Para sukarelawan ini yang sekaligus bertindak sebagai ‘duta kecil’ STEM telah turut sama terlibat secara langsung mempromosi kepentingan STEM dan membantu para fasilitator di setiap peringkat program yang telah dianjurkan.
Melalui pendekatan yang telah dilaksanakan ini secara tidak langsung dapat memupuk minat terhadap ilmu STEM dengan lebih mendalam serta lebih meluas lagi, meliputi bukan sahaja di peringkat sekolah khususnya, malahan mewujudkan kesinambungan sehingga ke peringkat pengajian tinggi, amnya.
Melalui inisiatif pembudayaan ilmu STEM yang telah dijalankan secara praktikal dan bersistematik, unit STEM Pusat Asasi UiTM telah menerima reaksi dan maklumbalas yang sangat positif dari pelbagai pihak melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).
Juga pihak penganjur luar melalui penyertaan pameran di KLESF2018, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) National Learning Innovation (NALI) 2019 dan International Tinker Innovation & Entrepreneurship Challenge (I-TIEC) 2019 melalui penglibatan projek inovasi STEM peringkat kebangsaan dan antarabangsa, para pendidik dari sekolah yang terlibat.
Sekolah tersebut ialah SMK Bukit Changgang, SMK Sungai Kapar Indah, SMK (P) Methodist Klang, ibu bapa, para pelajar serta STEM UiTM khususnya. Jelaslah bahawa kepentingan penerapan dan pembudayaan STEM sebagai salah satu daripada agenda utama terhadap pembangunan negara pada abad ke-21 ini perlu dilaksana bermula dari peringkat awal pendidikan.
Ini bagi melahirkan generasi anak bangsa yang bukan sahaja celik sains dan teknologi malahan terpaling utama bercirikan minda STEM kelas pertama selaras dengan visi inisiatif pengukuhan pendidikan STEM bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai modal insan dalam bidang STEM yang berkualiti dan berdaya saing di peringkat global.
Semoga anjakan paradigma terhadap kelestarian pembudayaan STEM seiring dengan kemajuan pendidikan negara ke arah yang lebih mampan dapat direalisasikan terutamanya bagi memenuhi keperluan pada masa kini.
Contohnya, kepentingan ilmu dan praktis STEM terhadap dasar dan pelaksanaan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) negara melalui usahasama secara bersepadu melibatkan badan-badan penting dari pihak kementerian pendidikan melalui National STEM Movement, agensi bukan kerajaan (NGO), jabatan pendidikan negeri, pihak sekolah dan pihak-pihak lain yang berkaitan bagi turut sama terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menggembeling tenaga dan usaha serta perkongsian buah fikiran yang bernas bagi mencapai kualiti ‘standard’ yang disasarkan. – DagangNews.com