Perancangan rapi Kerajaan PN sejak awal 2020 berjaya bawa pemulihan - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Perancangan rapi Kerajaan PN sejak awal 2020 berjaya bawa pemulihan - Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin berucap menerusi video yang disiarkan menerusi laman Facebooknya hari ini.

 


KUALA LUMPUR 16 Sept – Berkat perancangan rapi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak awal tahun lalu, tanda-tanda pemulihan yang samar-samar sebelum ini sudah semakin jelas di hadapan mata.

 

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia kini berada di landasan yang betul.

 

Paling ketara kata beliau yang juga bekas Perdana Menteri, adalah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan kadar vaksinasi negara antara yang terpantas di dunia.

 

Terkini, lebih 73.4% populasi dewasa Malaysia atau lebih 17 juta individu sudah lengkap divaksin dan sebanyak 91.3% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

 

Ini bermakna ujar beliau, Malaysia sudah semakin hampir untuk mencapai imuniti kelompok. Syabas rakyat Malaysia!

 

Menurutnya, selari dengan pencapaian program vaksinasi ini, kita melihat aktiviti sosioekonomi kembali rancak.

 

Kesemua negeri kecuali Johor dan Kedah telah beralih dari Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyaksikan pergerakan rakyat lebih bebas dengan tertakluk kepada SOP kesihatan yang masih berkuatkuasa. Telah banyak kelonggaran yang diberikan.

 

‘’Terbaharu, gelembung perjalanan atau ‘travel bubble’ diperkenalkan untuk menggiatkan semula sektor pelancongan dengan Langkawi menjadi destinasi pertama.

 

‘’Saya difahamkan hampir semua tempahan hotel di Langkawi sudah penuh. Ini adalah permulaan yang baik untuk sektor pelancongan negara.

 

‘’Dengan pembukaan banyak sektor sosial dan ekonomi, tidak bermakna perang melawan COVID-19 sudah tamat. Kita mesti terus berwaspada kerana kemunculan varian baharu yang lebih ganas dan bahaya akan terus mengancam nyawa.

 

‘’Janganlah sesekali kita mengambil sikap sambil lewa, walaupun pandemik ini nanti telah diisytiharkan sebagai endemik. Kita mesti terus melindungi diri kita, supaya kita dapat melindungi orang tersayang dan negara keseluruhannya,’’ katanya dalam ucapan sempena sambutan ke-58 Hari Malaysia di sini hari ini.

 

Muhyiddin berkata, sempena Hari Malaysia 2021, marilah terus bersatu hati sebagai satu bangsa demi mencapai matlamat bersama memenangi perang melawan COVID-19 untuk membebaskan negara daripada kancah krisis kesihatan ini.

 

‘’Marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga dan berganding bahu membina semula ekonomi dan kehidupan kita pasca pandemik. Semoga hari esok membawa sinar yang menerangi kehidupan kita semua, Insya-Allah,’’ kata beliau. – DagangNews.com