Peranti rokok elektronik diwartakan bagi mematuhi standard keselamatan | DagangNews Skip to main content

Peranti rokok elektronik diwartakan bagi mematuhi standard keselamatan

KUALA LUMPUR 5 April - Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 diwartakan hari ini bagi memastikan peranti rokok elektronik yang dihasilkan atau diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan dalam perintah itu.

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, perintah itu yang akan berkuat kuasa 3 Ogos 2022 yang  mewajibkan pengilang dan pengimport peranti rokok elektronik membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. selaku pihak berkuasa yang dilantik kementerian.

 

KPDNHEP berkata, penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada peranti rokok elektronik, alat gantinya atau pada bekas peranti agar mudah dilihat oleh pengguna.

 

"Dengan adanya penandaan MS SIRIM pada peranti rokok elektronik menunjukkan ia telah mematuhi standard dan selamat digunakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Bernama.

 

KPDNHEP berkata, tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport.

 

Jika sabit kesalahan antaranya boleh didenda tidak melebihi RM200,000 bagi syarikat manakala individu pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Kementerian itu menyatakan, pewartaan itu adalah inisiatif kerajaan prihatin atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna.

 

"KPDNHEP berharap isu lambakan peranti rokok elektronik yang tidak berkualiti dalam pasaran Malaysia akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport," katanya. - DagangNews.com