Peraturan baharu Indonesia, lonjak harga MSM ke paras tertinggi RM5,700  | DagangNews Skip to main content

Peraturan baharu Indonesia, lonjak harga MSM ke paras tertinggi RM5,700 

KUALA LUMPUR 31 Jan - Niaga hadapan minyak sawit mncecah paras tertinggi baharu pada RM5,700 satu tan dalam dagangan awal pagi ini apabila peniaga cuba mengambil untung akibat pengurangan bekalan daripada pengeluar dan pengeksport utama Indonesia.

 

Menurut laporan Reuters, kontrak penanda aras minyak sawit bagi penghantaran April di Bursa Malaysia Derivatif mengakhiri dagangan separuh hari sempena cuti Tahun Baharu Cina susut 0.73% kepada RM5,587 tan. 

 

Pihak berkuasa Indonesia mengejutkan pasaran minyak boleh dimakan minggu lalu dengan melaksanakan peraturan baharu yang dijadikan mandatori kepada pengeluar minyak sawit untuk menjual 20% daripada keluaran mereka kepada pengguna domestik pada harga tetap. 

 

"Perubahan peraturan ini telah mempengaruhi prospek bekalan minyak sawit mentah (MSM) dari Indonesia dan menjejaskan pasaran minyak makan global dengan menjadikan minyak sayuran termurah secara tradisinya menjadi paling mahal antara 3 minyak makan utama yang didagangkan di seluruh dunia," jelas laporan tersebut.

 

Dalam kenyataan Kementerian Perdagangan Jumaat lalu, Indonesia, yang merupakan pengeluar dan pengeksport terbesar minyak sawit dunia menetapkan harga rujukan MSM untuk Februari pada AS$1,314.78 (kira-kira RM5,507.61) satu tan, meningkat daripada AS$1,307.76 satu tan pada Januari. 

 

India, pengimport minyak makan terkemuka, berkemungkinan memperuntukkan kira-kira 3 trilion rupee (AS$40 bilion atau kira-kira RM167.46 bilion) untuk subsidi makanan dan baja dalam bajetnya minggu depan untuk 2022/2023, kata pegawai, yang mana kira-kira jumlah yang sama diperuntukkan kerajaan untuk tahun fiskal berakhir pada Mac ini.

 

Menurut laporan berkenaan, niaga hadapan kacang soya Chicago Mac 2022 meningkat ke paras tertinggi baharu pada awal dagangan Isnin meneruskan aliran meningkatnya berikutan kebimbangan mengenai skala tanaman yang dilanda kemarau dari Amerika Selatan.

 

Kontrak minyak kacang soya paling aktif, Chicago meningkat 1.75% kepada 66.41 sen satu paun, tertinggi sejak Jun 2021 pada 0449 GMT. Niaga hadapan kacang soya meningkat 1.3% kepada AS$416.70 satu tan singkat.

 

Pasaran hadapan komoditi utama China ditutup sehingga 7 Februari ini sempena sambutan cuti perayaan.

 

Minyak sawit terjejas dengan pergerakan harga berkaitan minyak kerana mereka bersaing untuk mendapatkan bahagian dalam pasaran dalam minyak sayuran global.

 

Harga minyak sawit mungkin menguji paras rintangan pada RM5,676 satu tan, penembusan yang boleh membawa kepada julat antara RM5,749 hingga RM5,794. 

 

Menurut Reuters, pasaran saham Asia memulakan minggu dengan berhati-hati yang berkemungkinan menyaksikan kenaikan kadar faedah United Kingdom (UK) dan laporan bercampur-campur mengenai pekerjaan dan pembuatan AS, sementara lonjakan harga minyak menambah kebimbangan terhadap inflasi.

 

Pada Isnin, minyak naik 1% berlegar menghampiri paras 7 tahun tertinggi yang dicatatkan dalam sesi sebelumnya, di tengah-tengah kebimbangan kekangan bekalan dan ketegangan geopolitik di Eropah Timur dan Asia Barat. - DagangNews.com