Perbelanjaan iklan bagi 2023 diunjur menurun akibat prospek ekonomi yang lemah, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan iklan bagi 2023 diunjur menurun akibat prospek ekonomi yang lemah, kata Kenanga Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - Kenanga Research mengunjurkan perbelanjaan periklanan (adex) bagi 2023 menurun selepas mengambil kira prospek ekonomi yang lemah selain ketiadaan acara utama seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia. 

 

Firma itu bagaimanapun berkata, kos dijangka berkurangan apabila rantaian bekalan global pulih dan penyambungan semula aktiviti pelancong dari China boleh meningkatkan sentimen pengguna selain menggalakkan aktiviti pengiklanan.

 

"Kami kekal berhati-hati dengan kebimbangan kemelesetan ekonomi global dan kenaikan kadar faedah serentak yang mungkin menjejaskan perbelanjaan pengguna dan melemahkan keyakinan pengiklan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma it berkata, media merekodkan penurunan terbesar dalam bahagian pasaran pada suku keempat 2022, kehilangan 3 mata peratusan (ppt)s dan jatuh kepada 18% daripada keseluruhan adex disebabkan oleh perbelanjaan iklan YouTube yang lebih rendah.

 

Katanya, siaran televisyen percuma (FTA TV) meraih 2 ppts dan kekal sebagai segmen terbesar dengan menguasai 55% daripada keseluruhan adex.

 

"Radio juga memperoleh 2ppts berikutan penurunan dalam adex digital, berkembang kepada 8% daripada bahagian pasaran keseluruhan manakala akhbar jatuh 1ppt kepada 16% semasa suku keempat 2022," katanya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pertumbuhan segmen itu bagi 2023, dengan pertumbuhan adex media tradisional mendatar dan adex digital berkembang sebanyak 10%.

 

Bagaimanapun, firma itu memperhalusi pertumbuhan adex tahun penuh kepada 2.8% (daripada 3% sebelumnya) selepas membuat penilaian semula 2022.

 

"Kami juga mengekalkan unjuran untuk media digital di bawah liputan kami memandangkan penurunan adex sebahagian besarnya diasingkan dalam YouTube dan bukan laman web tempatan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor itu.

 

Firma itu juga menyukai Media Prima (outperform; TP: 51 sen) selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk pendekatan bersepadu untuk pengiklanan yang menawarkan sasaran yang lebih baik, kos optimum yang kukuh berikutan penyatuan bahagian pengiklanannya dan kedudukan utama dalam ruang siaran tv percuma dengan penguasaan pasaran terbesar.

 

Bagaimanapun, firma itu tetap berhati-hati kerana kumpulan itu dilihat bergelut untuk menangani segmennya yang merugikan. - DagangNews.com