Perbelanjaan modal awal pembesaran Westports 2 dianggar sebanyak RM12.6 bilion, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan modal awal pembesaran Westports 2 dianggar sebanyak RM12.6 bilion, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Dis - Perbelanjaan modal (capex) pembangunan awal pembesaran Westports 2 dianggarkan sebanyak RM12.6 bilion, dengan Fasa 1 meliputi CT10-CT13 antara 2024 hingga 2038 dan Fasa 2 bagi CT14-CT17 antara 2036 dan 2053.

 

MIDF Research berkata, Fasa 1 pembesaran Westports 2 diunjurkan menelan belanja RM6.3 bilion dengan anggaran RM4.8 bilion diperuntukkan bagi pembinaan terminal dan baki jumlah dikhaskan untuk pengambilan tanah dan pengorekan.

 

"Peringkat awal akan memberi tumpuan kepada membina dua terminal pertama, CT10-CT11, dengan matlamat untuk memulakan operasi CT10 pada separuh kedua 2027 dan CT11 menjelang separuh kedua 2029.

 

"Walaupun CT12 dan CT13 akan dilaksanakan pada peringkat kemudian, Westports berhasrat memulakan pengorekan sehingga CT13 sekali gus," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, konsesi baharu akan melanjutkan tempoh 58 tahun dari 2024 hingga 2082 itu termasuk kemudahan pelabuhan sedia ada di Westports dan kemudahan baharu yang akan dibangunkan dalam tempoh konsesi membabitkan pelaburan RM39.6 bilion.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lembaga Pelabuhan Klang meterai perjanjian tambahan ketiga bagi penswastaan Westports sehingga tahun 2082

 

Firma penyelidikan itu berkata, berkuat kuasa 1 September 2024, pajakan tetap untuk Wesports 1 akan meningkat kepada RM90 juta/tahun daripada RM64 juta/tahun semasa.

 

Katanya, kenaikan pajakan masa hadapan adalah sejajar dengan kadar semakan tarif kontena selain pajakan tetap untuk Westports 2 ialah RM1 juta/tahun.

 

"Sementara itu, pajakan boleh ubah untuk kontena tempatan akan meningkat kepada RM3 daripada RM1/TEU dan pajakan kotak pemindahan akan meningkat kepada RM2 manakala pajakan boleh ubah konvensional kekal tidak berubah pada 10 sen bagi setiap tan," katanya.

 

Selepas mempertimbangkan implikasi konsesi baharu, MIDF Research menyemak naik unjuran pendapatan Westports bagi FY24 dan FY25 sebanyak 4% dan 10%.

 

Katanya, semakan semula itu merangkumi beberapa faktor termasuk peningkatan bayaran pajakan kepada Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), jangkaan pendapatan sewa yang lebih tinggi selepas tamat tempoh konsesi semasa dan pengurangan susut nilai dan pelunasan disebabkan oleh lanjutan tempoh konsesi.

 

Pada masa sama ia merangkumi permulaan kos pembiayaan dan anggaran kadar cukai berkesan sebanyak 18% hingga 21% untuk FY24 hingga FY28 dengan pengembangan Westports 2 disebabkan oleh elaun cukai pelaburan.

 

"Kami mengekalkan sasaran 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM4.30 sesaham," katanya. - DagangNews.com