Perbelanjaan pelancongan domestik melonjak 32.5% kepada RM84.9 bilion pada 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan pelancongan domestik melonjak 32.5% kepada RM84.9 bilion pada 2023 - DOSM

Pulau Redang, Terengganu
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac - Perbelanjaan pelancongan domestik di Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 32.5% kepada RM84.9 bilion pada 2023, berbanding tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbelanjaan tersebut mencatatkan RM23.8 bilion, menandakan peningkatan 29.5% tahun ke tahun dan peningkatan 18.5% suku tahun ke suku tahun bagi suku keempat 2023.

 

Beliau berkata, selain itu pelancongan domestik merekodkan 54.3 juta pelawat pada suku keempat 2023, melonjak 16.1% berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

 

"Secara keseluruhannya, prestasi pelancongan domestik Malaysia bagi tahun 2023 merekodkan 210.9 juta pelawat, meningkat 22.9% berbanding setahun sebelumnya. 

 

"Bagaimanapun, kedua-dua statistik ini masih di bawah paras pra-pendemik (2019) dengan pelawat domestik merekodkan -11.8% dan perbelanjaan pelancongan domestik berkurang -17.7%," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut DOSM, indeks hasil taman tema meningkat 49.2% tahun ke tahun, diikuti ketibaan di lapangan terbang domestik (+1.7%), trafik lebuh raya (+10.9%) dan jualan runcit bahan api (+3.4%).

 

Sementara itu katanya, indeks hasil penginapan juga meningkat dengan merekodkan 12.5%. 

 

 

DOSM

 

 

"Kadar penghunian hotel lima bintang meningkat 2.1%, diikuti hotel empat bintang (+0.7%) dan hotel tiga bintang (+14.8%)," katanya.

 

Tambahnya, kadar penghunian mengikut lokasi di bukit dan bandar masing-masing meningkat 2.2% dan 2.6%, berbanding suku tahun yang sama tahun lalu. - DagangNews.com