Perbelanjaan penjagaan kesihatan global diunjur mencecah AS$10 trilion menjelang 2026 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan penjagaan kesihatan global diunjur mencecah AS$10 trilion menjelang 2026 - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Perbelanjaan penjagaan kesihatan global diunjur mencecah AS$10 trilion menjelang 2026 meningkat daripada AS$8.4 trilion pada 2022 mewakili kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 3.5% bagi tempoh lima tahun.

 

Kenanga Research berkata, perkembangan itu didorong peningkatan penyakit kronik yang pada masa sama meningkatkan permintaan terhadap kemudahan penjagaan kesihatan swasta.

 

Firma itu berkata, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan bahawa hampir separuh daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan global akan dibelanjakan untuk tiga punca utama kematian iaitu penyakit kardiovaskular, kanser dan penyakit pernafasan.

 

Firma itu mengunjurkan pertumbuhan pemprosesan pesakit dan intensiti hasil IHH Healthcare Berhad untuk memacu pendapatan 2023 apabila permintaan untuk perkhidmatan bukan berkaitan COVID-19, termasuk pembedahan elektif meningkat.

 

"Kami menjangkakan pendapatan IHH bagi setiap pesakit dengan pertumbuhan 10% hingga 15%, pertumbuhan daya pengeluaran pesakit dalam sebanyak 10% hingga 15% dan kadar penghunian katil (BOR) sebanyak 60% hingga 73% untuk hospitalnya di Malaysia, Singapura, India dan Turkiye.

 

"Kami menyukai IHH kerana kuasa penetapan harganya untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta membolehkan mereka meneruskan kos yang lebih tinggi di tengah-tengah peningkatan inflasi dan kehadirannya dalam pelbagai pasaran, iaitu Malaysia, Singapura, Turkiye dan China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pada tahun ini juga, mereka menjangkakan daya pengeluaran pesakit KPJ Healthcare Berhad berkembang 14% manakala BOR pada tahap 70% akan didorong oleh pemulihan dalam permintaan untuk perkhidmatannya, terutamanya, yang tidak berkaitan dengan COVID-19 termasuk pembedahan elektif.

 

"Kami juga menyukai KPJ kerana kuasa penetapan harganya sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta dan kedudukan pasarannya yang kukuh di dalam negara dengan rangkaian terbesar dengan 28 hospital," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com