Perbelanjaan penjagaan kesihatan Malaysia diramal berkembang pada CAGR sebanyak 8.3% bermula 2023 hingga 2028 - BMI | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan penjagaan kesihatan Malaysia diramal berkembang pada CAGR sebanyak 8.3% bermula 2023 hingga 2028 - BMI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions meramalkan perbelanjaan penjagaan kesihatan Malaysia berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 8.3% dari 2023 hingga 2028, dengan perbelanjaan awam meningkat sebanyak 8.5% dan perbelanjaan swasta sebanyak 8.1%.

 

Katanya, tinjauan itu disokong oleh peningkatan dua angka dalam bajet penjagaan kesihatan kerajaan pada 2023 dan 2024 selain kemajuan berterusan dalam sektor swasta.

 

“Ini akan menjadikan pertumbuhan perbelanjaan kesihatan jangka sederhana Malaysia antara yang terpantas di ASEAN,” katanya. 

 

Masyarakat yang semakin tua, penyakit kronik yang semakin meningkat, serta usaha untuk meningkatkan infrastruktur kesihatan awam dan menambah baik akses untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan akan memacu pertumbuhan sektor awam.

 

“Penyedia penjagaan kesihatan swasta akan terus menarik pesakit berpendapatan tinggi, termasuk pelancong perubatan dan pesakit domestik yang ingin mengelak masa menunggu yang lama, di tengah-tengah kekurangan doktor dan jururawat Malaysia,” kata BMI.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan perbelanjaan satu digit yang tinggi Malaysia akan mengatasi rakan serantau seperti Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia dalam jangka sederhana.

 

“Perbelanjaan kesihatan per kapita tahunan kekal melebihi purata pasaran global dan sedang pesat membangun, menunjukkan kapasiti yang kukuh bagi perbelanjaan produk perubatan termaju.

 

Sementara itu, BMI berkata, Malaysia akan terus membangunkan tawaran penjagaan kesihatannya bagi menarik pelancong perubatan, tetapi menyedari akan menghadapi persaingan serantau yang kuat dari Thailand dan Singapura.

 

Mereka menjangkakan kerjasama itu kekal sebagai ciri usaha Malaysia dalam meningkatkan industri pelancongan perubatannya, kerana ia berusaha untuk kekal berdaya saing.

 

Negara akan terus menangani cabaran kebolehcapaian di kawasan luar bandar, dengan bajet 2024 kerajaan mengetengahkan pelaburan dalam kemudahan kesihatan, termasuk memperluaskan hospital dan membina klinik kesihatan baharu bagi meningkatkan kapasiti dan mengurangkan kesesakan.

 

“Kerajaan juga menyasarkan pelancaran rekod perubatan elektronik di seluruh negara menjelang 2026, dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan sistem penjagaan kesihatan,” tambah BMI. - DagangNews.com