Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan 16 Jun depan - Istana Negara | DagangNews Skip to main content

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan 16 Jun depan - Istana Negara

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Istana Negara bakal menganjurkan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada Rabu depan, bertarikh 16 Jun 2021. 

 

Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perbincangan khas itu adalah inisiatif Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah dan akan dipengerusikan oleh baginda.

 

“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini berkaitan dengan usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat. 

 

“Perbincangan Khas ini adalah kali kedua seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019.

 

“Kali pertama Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu telah dianjurkan dan berlangsung pada 25 Oktober 2020 di Istana Negara,” jelas kenyataan itu.

 

Sebelum itu, pemimpin parti-parti politik negara mula menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

 

Majlis menghadap bermula dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berlangsung selama sejam mulai 8 pagi, seperti dilaporkan Bernama.

 

Secara kebiasaannya, Muhyiddin selaku ketua kerajaan akan menghadap Seri Paduka sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada setiap Rabu, bagi menyembah maklum perkembangan pentadbiran negara.

 

Pada 10.40 pagi, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat memasuki Istana Negara dan beredar sejam kemudian. - DagangNews.com