Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat peningkatan 6.5% kepada RM142.3 bilion pada Oktober 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat peningkatan 6.5% kepada RM142.3 bilion pada Oktober 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM142.3 bilion, meningkat 6.5% tahun ke tahun pada Oktober 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Bagaimanapun, nilai jualan jatuh marginal -0.3% berbanding September 2023, kata jabatan itu.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan sebanyak 6.5% tahun ke tahun bagi perdagangan borong dan runcit pada Oktober 2023 disumbangkan subsektor perdagangan borong yang meningkat 5.7% atau RM3.4 bilion kepada RM63.3 bilion. 

 

Katanya, perdagangan runcit juga berkembang dengan mencatatkan 3.9% atau RM2.3 bilion kepada RM60.6 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan pertumbuhan dua digit 19.1% atau RM3 bilion untuk berada pada RM18.4 bilion.

 

Sementara itu, penurunan marginal -0.3% berbanding bulan sebelumnya adalah disebabkan perdagangan borong yang menguncup -1.4%, diikuti perdagangan runcit dengan -0.8%. Sebaliknya, kenderaan bermotor kembali mencatatkan pertumbuhan positif 5.2%.

 

Mohd Uzir berkata, melihat kepada prestasi mengikut subsektor, pertumbuhan 5.7% tahun ke tahun bagi perdagangan borong disumbangkan lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1.7 bilion atau 7.5% kepada RM24.4 bilion. 

 

Katanya ia diikuti jualan borong barangan isi rumah (4.7%), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (8.9%), jualan borong makanan, minuman dan tembakau (3.3%), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (3.4%), perdagangan borong tanpa pengkhususan (5.7%) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (4.2%). 

 

 

DOSM

 

 

"Bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong jatuh -1.4 peratus, terutamanya disebabkan lain-lain pengkhususan jualan borong (-2.8%), jualan borong makanan, minuman dan tembakau (-2.5%) dan jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (-3.5%)," katanya.

 

Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, kenaikan 3.9% tahun ke tahun pada bulan ini disokong jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 6.1% atau RM1.3 bilion kepada RM22.9 bilion. 

 

Kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (10.8%), jualan runcit di kedai pengkhususan (2.2%), jualan runcit bahan api kenderaan (4.8%), jualan runcit barangan isi rumah (2%), jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (1.5%), jualan runcit di gerai dan pasar (5.2%) dan jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (0.2%). 

 

Sebaliknya, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini turun -0.8%, didorong jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (-1.2%), jualan runcit di kedai pengkhususan (-1.1%), jualan runcit kelengkapan informasi dan komunikasi (-1.4%) dan jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (-1.3%).

 

Menurut Mohd Uzir, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 19.1% bagi subsektor kenderaan bermotor pada bulan ini dipacu jualan kenderaan bermotor yang melonjak 24.6% atau RM2 bilion untuk merekodkan RM10.3 bilion. 

 

Katanya, ia diikuti jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (16.1%) dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (17.7%). 

 

"Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini tumbuh 5.2%, disokong jualan kenderaan Bermotor (8.6%), jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (7%), jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (0.4%) dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (0.5%)," katanya.

 

Bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini jatuh -0.3% tahun ke tahun pada Oktober 2023 berbanding 2% pada September 2023. Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini merosot -1.5% berbanding bulan sebelum.

 

Beralih kepada indeks volum, perdagangan borong dan runcit pada Oktober 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.5%. 

 

Pengembangan itu disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (15.8%), perdagangan borong (4.7%) dan perdagangan runcit (2.3%). Sebaliknya, bagi indeks volum pelarasan musim, ia menurun -2.2% bulan ke bulan. - DagangNews.com